XPDC dibarisi (dari kiri) Mael, Zua, Amy dan Jeff.
XPDC dibarisi (dari kiri) Mael, Zua, Amy dan Jeff.
Ridzuan Abdul Rahman


FTG dan XPDC bukanlah asing dalam kalangan peminat muzik metal tanah air.

Khusus buat semua, dua kumpulan otai ini akan bergabung untuk beraksi di konsert Rockstage II yang bakal berlangsung di Stadium Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA), Kuala Lumpur, Sabtu ini jam 8 malam.

Kehebatan XPDC yang terkenal dengan jolokan raja funfair pastinya menggamit peminat untuk turun padang menyaksikan persembahan mereka.

Apatah lagi Mael (penyanyi), Zua (bass), Amy (dram) dan Jeff (gitar) sudah lama tidak beraksi dalam mana-mana persembahan di ibu kota.

Zua berkata, Konsert Rockstage II ini diadakan khas untuk peminat XPDC yang tidak putus-putus menyokong selama lebih 20 tahun mereka di persada seni tempatan.

“Kami teruja apabila XPDC dan rakan seangkatan dalam bidang seni, FTG terbabit dalam konsert edisi kedua ini.

“Rasanya lama juga kami tak bermain dalam mana-mana konsert yang besar di Kuala Lumpur. Inilah kesempatan terbaik untuk kami bertemu peminat,” katanya.

Menurutnya, bagi memberikan kepuasan maksimum untuk peminat, mereka akan menampilkan rangkaian lagu popular XPDC dari album pertama hingga yang terbaru.

Selain XPDC, kehebatan FTG yang lebih terarah kepada genre thrash metal juga tidak perlu dipertikaikan.

FTG yang dianggotai (dari kiri) Nizam, Jac, Tajul dan Mie kembali aktif.
FTG yang dianggotai (dari kiri) Nizam, Jac, Tajul dan Mie kembali aktif.

Dua jenama ini sebenarnya cukup dikenali dalam kalangan pemuzik dan pencinta muzik metal tempatan.

Penyatuan semula ‘line-ups’ asal FTG iaitu Tajul (penyanyi), Jac (gitar), Nizam (dram) dan Mie (bass) pastinya dinanti-nantikan peminat dan bakal memberi impak besar pada hari konsert itu nanti.

Sebelum kemunculan FTG dan XPDC, peminat akan dihiburkan dengan persembahan kumpulan Metalzonn yang membuka tirai Konsert Rockstage II anjuran Rockstage Entertainment ini.

Wakil penganjur, Talib Othman berkata, Konsert Rockstage II ini adalah lanjutan daripada konsert Rockstage I yang di adakan pada 4 Februari lalu menampilkan MAY, Sofea/SYJ dan Amuk.

“Berikutan sambutan menggalakkan daripada peminat, kami selaku penganjur memberi ruang dan peluang kepada peminat FTG serta XPDC pula untuk menikmati persembahan mereka pula.

“Walaupun ia berlainan konsep, saya pasti setiap kumpulan mempunyai kelebihan mereka sendiri,” katanya.

Talib menjanjikan peminat akan berpuas hati dengan konsep persembahan dan sistem bunyi yang ditampilkan tentunya akan meninggalkan nostalgia tersendiri buat yang hadir.

Tiket untuk menyaksikan konsert ini berharga RM75 dan boleh didapati di kaunter jualan Stadium MABA pada hari persembahan.

“Jualan tiket sebenarnya sudah bermula dan setakat ini sambutannya sangat memberangsangkan. Malah ada peminat dari Sabah, Sarawak dan Brunei sudah membuat tempahan awal tiket,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Oktober 2017 @ 12:47 PM