AKIM & The Majistret
AKIM & The Majistret
Oleh Michelle Gun


Lebih 15,000 penonton membanjiri Padang Merdeka Kuching, Sarawak untuk menyaksikan Konsert ERA Sayang Sarawak yang menampilkan 12 artis popular tanah air dan Indonesia, Sabtu lalu.

Konsert anjuran ERA fm Sarawak itu acara terbesar stesen radio terbabit di Bumi Kenyalang tahun ini. Ia sebagai tanda penghargaan kepada pendengar yang terus setia bersama ERA fm sepanjang lima tahun beroperasi di negeri itu.

Kehadiran penyanyi terkenal Indonesia, Afgan; Stacy dan Akim & The Majistret antara bintang yang dinanti-nantikan penduduk negeri itu.

Bakat kelahiran Sarawak, Nana Sheme yang terkenal dengan lagu hit Hantu Atau Buaya, Mal Imran, Ir Radzi serta Nadhar tidak ketinggalan memeriahkan suasana.

Acara diserikan dengan kehadiran penyampai segmen Sarapan Pagi ERA fm iaitu JoHaRa Pagi ERA gabungan pelawak terkenal Johan bersama Haniff dan Ray.

Mereka bergandingan dengan penyampai ERA fm Sarawak, Chopie, Fir, Afick, Osha dan Michelle mengendalikan konsert berkenaan.

Kumpulan hip hop Lawa Nie Gang yang dianggotai Muariffah dan Al Abbas membuka tirai persembahan dengan single mereka, Pasar Malam. Mereka kemudian menjemput penyanyi Indonesia, Deasy Natalina berduet lagu Aduh Aduh Sayang yang kini hangat mendaki carta radio tempatan diikuti single Masalahmu.

Sebaik tamat persembahan, ERA fm memberi kejutan kepada Deasy dengan acara memotong kek sempena ulang tahun ke-34 penyanyi itu.

Tanpa melengahkan masa, pentas diserahkan kepada penyanyi baru, Nadhar yang mendendangkan single Parah.

Ir Radzi kemudian menghiburkan penonton dengan lagu hit Sempurnakan Waktu yang diangkat sebagai runut bunyi drama Teman Lelaki Upahan dan single Maafkan Aku.

Konsert dihangatkan lagi dengan persembahan Wani Kayrie yang menyampaikan lagu Jangan Jangan. Penyanyi berusia 15 tahun itu menunjukkan kemantapan vokalnya menerusi lagu Inggeris, Bang Bang nyanyian asal Jessie J, Ariana Grande dan Nicki Minaj.

Bekas peserta Mentor Legend, Mal Imran tampil dengan lagu Cinta Sukar Ditafsirkan ciptaan mentornya, Ajai. Dia meneruskan persembahan berduet dengan Nadhar menerusi lagu Lay Me Down yang dipopularkan oelh Sam Smith.

Kemuncak acara bermula apabila Altimet menyampaikan lagu Syukur, Aku Tahu dan Kalau Aku Kaya.

Giliran anak jati Kuching, Nana Sheme menggegarkan pentas dengan single ciptaan DJ Fuzz, Hantu Atau Buaya dan lagu baru, Boleh Blah. Selesai persembahan Nana, JoHaRa kembali ke pentas untuk mengendalikan segmen Spontan Era bersama penonton.

Dua penonton dipilih melakukan cabaran Soal Menyoal apabila mereka perlu menjawab soalan secara spontan dan pantas.

Penonton bersorak apabila tiba giliran Black menyanyikan lagu Mana Mungkin yang bakal bertanding dalam Anugerah Juara Lagu 30. Black kemudian berduet lagu Si Putih Si Merah dengan RJ.

Selain turun ke pentas untuk bertemu peminat, Black dan RJ membaling topi dan rantai kepada peminat sebagai cenderamata.

Suasana bertukar sepi seketika apabila Black mendedikasikan lagu Teman Pengganti untuk arwah pelawak dan pelakon, Yus Jambu yang meninggal akibat serangan jantung baru-baru ini.

Penonton menjerit keriangan sebaik Stacy tampil dengan persembahan penuh bertenaga dengan diiringi dua penari untuk lagu Gilalah. Stacy tidak membuang masa dengan menyanyikan lagu Bosan dan Not Fo Sale.

Walaupun jam menunjukkan 11.15 malam, penonton tidak berganjak dan setia menanti persembahan Akim & The Majistret dan Afgan.

Kali kedua datang ke Kuching, Akim & The Majistret meminta penonton menyalakan lampu telefon bimbit masing-masing sambil menyanyikan lagu Potret bersama mereka.

Bagi menghangatkan lagi suasana, Akim meminta setiap anggota kumpulan itu menyanyi lagu Mewangi dan gelagat mereka mencuit hati penonton.

Selain Potret dan Mewangi, Akim & The Majistret turut menyampaikan dua lagu lagi iaitu Obses dan Sisaku.

Acara sampai ke penghujungnya apabila Afgan mengambil tempat di atas pentas. Menurut Afgan itu bukan kunjungan pertamanya ke Sarawak kerana pernah menjayakan konsert sama di Kuching tahun lalu.

“Pada konsert tahun lalu, seramai 4,000 penonton hadir namun bilangan kali ini lebih ramai. Saya suka Kuching dan penduduknya sangat ramah,” katanya.

Afgan menghadiahkan lima lagu termasuk satu duet bersama Wani Kayrie berjudul Kamu Yang Aku Tunggu.

Penyanyi itu memilih lagu Knock Me Out sebagai lagu pertama diikuti Bukan Cinta Biasa, Jodoh Pasti Bertemu dan diakhiri dengan Ku Telah Jatuh Cinta.

Sementara itu, sebelum konsert bermula pendengar bertuah ERA fm Sarawak berpeluang bertemu artis kesayangan dalam sesi ramah mesra yang berlangsung di Hotel Merdeka Palace pada sebelah petang.

Stesen ERA fm boleh didengari menerusi siaran 96.1FM di Kuching manakala 101.3FM di Miri. Maklumat lanjut boleh diperoleh di Facebook fbsarawak.era.fm atau Instagram @erafmsarawak.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Disember 2015 @ 10:16 AM