CINTA Sukar Ditafsir nyanyian Mal Imran hangat diputarkan di corong radio tempatan.
CINTA Sukar Ditafsir nyanyian Mal Imran hangat diputarkan di corong radio tempatan.
Oleh Syafil Syazwan Jefri


Walaupun tidak berjaya mara sebagai peserta Mentor Legend, penyanyi Mal Imran atau nama sebenarnya, Mohd Akmal Mohamed Imran berpuas hati apabila tampil dengan single berjudul Cinta Sukar Ditafsir.

Lebih menarik buah tangan sulung penyanyi kelahiran Sarawak itu kini hangat diputarkan di corong radio tempatan dan mendapat reaksi positif pendengar.

“Alhamdulillah, single pertama ini mendapat sambutan. Apabila saya dengar ia dimainkan di radio, rasa bangga dan teruja, tetapi pada masa sama risau dengan harapan pendengar selepas ini,” katanya.

Menurut jejaka berusia 25 tahun ini, video muzik Cinta Sukar Ditafsir sudah dilancarkan di YouTube dan semakin mencuri perhatian.

“Jumlah tontonan di YouTube juga memberangsangkan. Setiap hari, saya dapati jumlah tontonan meningkat,” katanya.

Jelas Mal, single berkenaan dilancarkan pada Februari tahun lalu, namun urusan promosi terpaksa ditunda atas permintaan keluarga.

“Keluarga saya kurang bersetuju apabila saya mahu menya­nyi secara serius. Kata mereka, bukan mudah dapat kerja sebagai penjawat awam dan mahu saya fokus dengan kerja itu.

“Namun syukur mereka akhirnya faham minat saya dan benarkan saya aktif menyanyi,” katanya.

Bagi memastikan kehadirannya dalam industri diterima pelbagai pihak, persediaan rapi perlu dilakukan termasuklah memperbaiki mutu nyanyian dan mencari imej sesuai.

“Selain memperbaiki dan mempertingkatkan skil nyanyian, saya juga perlu menitikberatkan aspek imej serta penampilan kerana ia salah satu daya penarik.

“Saingan dalam industri sangat sengit dan kerana itu saya perlu pandang serius semua aspek,” katanya.

Selain Cinta Sukar Ditafsir, penyanyi yang ber­naung di bawah label CQ Music ini bakal muncul dengan single keduanya tidak lama lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 January 2016 @ 5:01 AM