Oleh Abnor Hamizam Abd Manap

Jelebu: Sebuah rumah dan kereta milik penyelia FELCRA Lakai, dekat sini, musnah dalam kebakaran 1.30 petang ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan 1.36 petang berhubung kejadian itu.

Katanya, tujuh pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Simpang Pertang ke tempat kejadian untuk operasi memadam kebakaran.

Katanya, sejurus tiba anggota bomba yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II, Ismail Abd Ghani mendapati api marak dan segera melakukan pemadaman.

"Rumah separuh kekal itu dan sebuah Proton Iswara Aerobak musnah 80 peratus dalam kebakaran itu. Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan. Difahamkan, pemilik rumah berusia 36 tahun bersama isteri dan dua anak mereka tiada di rumah kerana menghadiri majlis kenduri kahwin," katanya.

Jurucakap itu berkata, pihaknya menjalankan siasatan di tempat kejadian bagi mengetahui bagaimana rumah itu terbakar.

"Nilai kerugian masih dalam siasatan pihak bomba," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Oktober 2014 @ 7:54 PM