ISA (tengah) termenung melihat banyak ikan mati.
ISA (tengah) termenung melihat banyak ikan mati.
KESAN banjir menyebabkan ikan patin buah dan mekong mati.
KESAN banjir menyebabkan ikan patin buah dan mekong mati.
AKTIVITI memunggah ikan mati ke dalam bot.
AKTIVITI memunggah ikan mati ke dalam bot.
Oleh Mohamed Semail

Impian nelayan darat mendapat untung lebih dengan menyimpan stok ikan patin sempena Tahun Baru Cina musnah berikutan banyak ikan ternakan diusahakan mati akibat banjir besar baru-baru ini.

Musibah itu menyebabkan lebih 100 penternak ikan sangkar di Kampung Pulau Keladi, Pekan, kerugian jutaan ringgit.

Penternak ikan sangkar, Isa Sulaiman, 56, berkata setiap hari terdapat ratusan ikan mati.

"Biasanya 200 hingga 500 ekor ikan mati setiap hari.

"Air sungai berselut serta berarus deras dikatakan punca utama kematian ikan terbabit," katanya.

Isa berkata, paling serius apabila bahagian insang ikan ditutupi selut.

"Ia menghalang penyerapan oksigen sekali gus membuatkan ia lemas.

"Arus deras sungai juga mampu membunuh ikan," katanya.

Arus deras katanya menyebabkan ikan terhimpit ke dinding sangkar.

"Kesan geseran dan terhimpit terlalu lama di bahagian dinding sangkar mengakibatkan badannya luka.

"Luka mengakibatkan ikan mudah diserang penyakit dan mati," katanya.

Masalah kesihatan juga mengakibatkan ikan tidak menjamah makanan diberikan.

"Ia menjadi lemah dan tidak bermaya kerana cedera serta keletihan ketika melawan arus deras.

"Akibatnya, ia hilang tenaga dan mati kelaparan," katanya.

Ikan berkenaan hendaklah segera dibuang atau dimusnahkan bagi mengelak jangkitan kepada ikan lain.

Bangkai ikan mengeluarkan cecair berminyak dan ini menutup lapisan permukaan air, sekali gus menghalang oksigen terlarut ke dalam air.

Malah, ia juga berbahaya kepada ikan lain yang timbul di permukaan untuk bernafas.

Berpengalaman lebih 15 tahun menternak di kampung berkenaan, Isa berkata banjir tahun ini dianggap paling teruk.

Keadaan air sungai yang deras serta keruh mampu menghanyut sangkar jika tidak diikat dengan sempurna.

Isa yang memiliki lebih 50 sangkar sedih kerana 80 peratus ikan ternakannya mati akibat banjir dan dia mengalami kerugian lebih RM200,000.

"Antara spesies ikan itu adalah Patin Mekong, Patin Buah, Kerai dan Baung Merah.

"Baung Merah antara spesies yang mendapat tempahan paling banyak untuk sambutan Tahun Baru Cina," katanya.

Seorang lagi penternak, Abdul Halim Abdu Wahab, 64, turut mengalami nasib sama apabila kerugian lebih RM30,000.

Dia yang mempunyai 17 sangkar mengakui dua daripada sangkarnya pecah dan hanyut akibat tolakan balak.

Menurutnya, beberapa sangkar milik penternak lain hanyut ketika banjir besar melanda baru-baru ini.

Difahamkan lebih 400 penternak yang mengusahakan 3,778 sangkar di daerah Pekan.

Kebanyakan mereka menternak ikan Patin Hitam, Buah, Mekong, Kerai, Tilapia dan juga Baung Hitam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 January 2015 @ 5:01 AM