Kuala Lumpur: Pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada 1 April 2015 dilihat akan memberi sedikit impak kepada kenaikan harga hartanah memandangkan kos banan mentah yang dijangka akan meningkat.

Perunding dan pakar kewangan, Abuayubul Ansari berkata, pihak kontraktor dan pemaju terpaksa menambah kos pada nilai hartanah dan ini dengan sendiri akan memberi kesan kepada golongan pendapatan rendah dan sederhana pada peringkat permulaan.

Bagaimanapun, katanya, GST pada peringkat awal tidak memberikan kesan besar kerana proses pelaksanaannya akan mengambil sedikit masa untuk diadaptasi masyarakat.

“Kesan terhadap hartanah untuk kediaman tidak begitu tinggi berbanding dengan hartanah berbentuk komersial dan keadaan harga pada peringkat awal yang tidak menentu juga akan memberi peluang untuk pembeli menunggu agar keadaan harga lebih stabil.

“Namun, sebelum melakukan pembelian, seseorang itu perlu membuat pilihan yang tepat dan sekarang adalah pasaran pembeli di mana keadaan harga pasaran hartanah berada pada satu paras yang tinggi juga. Jadi pemilihan mengikut kemampuan masih menjadi salah satu faktor utama dalam memilih hartanah,” katanya.

Menurutnya, kenaikan harga rumah dan hartanah pasti akan berlaku secara natural walaupun tiada pelaksanaan GST dan orang ramai tidak perlu membuat keputusan terburu-buru dalam persediaan mereka membeli kediaman.

Abuayubul berkata, sebelum melakukan pembelian, seseorang itu perlu membuat pilihan yang tepat dan membeli mengikut kadar kemampuan supaya tidak berlaku tunggakan bayaran kepada bank.

Beliau berkata, bagi mereka yang masih belum mempunyai wang mencukupi untuk membeli rumah, langkah penting yang perlu diambil adalah mengumpulkan dana yang cukup bagi memiliki hartanah.

“Dapatkan lokasi yang sesuai, ambil masa untuk mencari hartanah yang sesuai dengan keadaan kewangan dan paling penting bina profil kewangan yang baik untuk mendapatkan pinjaman bank,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Disember 2014 @ 5:03 AM