SS sempat menemani seorang sahabat untuk hadir pada satu majlis hiburan baru-baru ini. SS lihat memang ramai juga penggiat seni yang hadir pada hari itu.

Ini termasuk seorang artis baru yang dengarnya sudah muncul dengan produk terkini. Bahkan, artis itu nampak teruja berhadapan dengan semua tetamu yang hadir. Sayang pula SS lihat hanya artis itu saja berkobar-kobar untuk mencanangkan mengenai produk terbarunya sedangkan tetamu pula macam endah tak endah pula.

SS yang secara tidak sengaja terlihat insiden itu hanya mampu menggeleng kepala. Simpati juga dengan nasib artis baru yang dikatakan itu. Apapun, ada kebarangkalian juga kenapa artis itu tidak dilayan tetamu kerana sikapnya sendiri yang kurang mesra dan bijak dalam sudut pergaulan. SS dapati artis itu langsung tidak berusaha memperkenalkan dirinya. Malah, ketika melihat dia bertegur sapa dengan tetamu pun dia nampak begitu kekok. Apa yang SS perasan, artis itu lebih asyik mendekati tetamu VIP saja seolah-olah tetamu lain semacam tidak wujud.

Beginilah ragam dunia hiburan. Pelbagai gelagat yang SS selalu lihat di depan mata yang ada kalanya sukar difahami. Banyak perlu dipelajari oleh artis baru dalam berkomunikasi dan bukan sekadar jual wajah dan bakat semata-mata .

SS: Seoronok tengok artis yang peramah seperti Datuk Ramli Sarip.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 November 2014 @ 5:01 AM