Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan bertolak ansur dengan perbuatan anggotanya yang mengaibkan mana-mana Orang Kena Tahan (OKT) atau apa saja perbuatan yang menyalahi peraturan.

Pengarah Jabatan Intergriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Zubaidah Md Ismail berkata, pihaknya kecewa dengan perbuatan dilakukan seorang dua anggota PDRM yang tidak beretika sehingga mencemarkan nama baik PDRM selepas tersebar video Zamani menyanyi di dalam tahanan polis.

Menurutnya, pelaku terbabit sudah dikenal pasti dan tindakan tegas segera sedang dilaksanakan untuk mengelak daripada berulang.

"Selain siasatan dari sudut jenayah, siasatan dalaman dari sudut tindakan tatatertib oleh JIPS di bawah peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

"JIPS Bukit Aman sendiri akan memantau dan menyelia Kertas Siasatan Tatatertib yang dijalankan JIPS Selangor," katanya dalam satu kenyataan media dikeluarkan hari ini.

Zubaidah berkata, beliau ingin mengingatkan kepada semua pegawai dan anggota PDRM supaya elakkan diri dari melakukan perbuatan yang boleh menyalahi undang-undang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 January 2015 @ 11:46 AM