KETUA Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed. FOTO ARKIB NSTP
KETUA Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed. FOTO ARKIB NSTP
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Ketua Balai Polis (OCS) bersama tiga anggotanya yang ditahan selepas menjadikan bilik di sebuah balai polis di daerah Kajang sebagai lokasi berhibur tiga bulan lalu dikenakan tindakan tatatertib.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, pegawai dan anggota terbabit akan dikenakan tindakan tatatertib namun tiada pendakwaan berkaitan jenayah ke atas mereka yang mana siasatan sedang dijalankan oleh Bukit Aman.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Azri Ahmad berkata, keputusan tidak mendakwa atas pertuduhan jenayah dibuat oleh Timbalan Pendakwa Raya.

"Saya dimaklumkan ujian air kencing kali kedua yang dijalankan untuk pengesahan pakar patologi mendapati pegawai terbabit negatif penyalahgunaan dadah.

"Mereka juga sudah dikenakan kompaun kerana melanggar prosedur operasi standard Covid-19," katanya.

Azri berkata, empat anggota polis itu masih tertakluk kepada siasatan tatatertib yang sedang dijalankan di mana mereka menghadapi pertuduhan mengikut Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

"Mereka diarah mengemukakan surat representasi kepada semua pertuduhan berhubung kesalahan sebelum keputusan lanjut dibuat," katanya.

Harian Metro pada 21 Julai lalu melaporkan OCS bersama tiga anggotanya serta empat wanita awam ditahan selepas menjadikan bilik di sebuah balai polis di daerah Kajang sebagai lokasi berhibur.

Serbuan kira-kira 6 petang itu dibuat Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman susulan maklumat awam.

Suspek ditahan ketika sedang menari dengan minuman keras serta minum air ketum di bilik di tingkat dua balai berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Oktober 2021 @ 11:16 AM