Oleh Azma Razana Johari

Nibong Tebal: Penduduk di Jalan Badak Mati, di sini, dikejutkan dengan dakwaan seorang wanita yang menemui objek menyerupai bom di sebelah rumahnya 11 pagi tadi.

Objek berkenaan ditinggalkan dalam kotak hadiah sebelum ditemui wanita berkenaan ketika melintasi kawasan itu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan Superintendan Wan Hassan Wan Ahmad berkata, siasatan awal mendapati objek ditemui menyerupai bom buatan sendiri namun masih belum dapat disahkan sama ada ia benar atau sebaliknya.

"Wanita yang berusia 50-an itu cemas dengan penemuan objek berkenaan dan menghubungi polis.

"Kami sedang menunggu hasil pemeriksaan dilakukan anggota Unit Pemusnah Bom (UPB) bagi mengesahkan objek itu adalah bom atau sebaliknya," katanya.

Sementara itu, penduduk berhampiran diarahkan mengosongkan kediaman masing-masing sementara pihak berkuasa melakukan pemeriksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 January 2015 @ 3:22 PM