KANAK-KANAK bermain air di depan rumah mereka di Kampung Batu Kapur Metakab, Temerloh yang masih dinaiki air. FOTO Nazirul Roselan
KANAK-KANAK bermain air di depan rumah mereka di Kampung Batu Kapur Metakab, Temerloh yang masih dinaiki air. FOTO Nazirul Roselan
Oleh Mohd Hanafis Abdul Haris

Kuala Lumpur: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menawarkan pengecualian caj bagi penggantian dokumen tawaran pinjaman dan pembiayaan yang musnah akibat banjir di semua negeri terjejas.

Pengerusinya, Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata, pengecualian itu adalah salah satu inisiatif PTPTN dalam membantu meringankan beban yang ditanggung oleh masyarakatkhususnya peminjam yang terjejas teruk akibat bencana banjir.

"Sebelum ini penggantian dokumen atau kad Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) yang hilang dikenakan caj perkhidmatan, namun untuk mangsa banjir kali ini kami memberikan pengecualian pembayaran dan segala urusan adalah percuma.

"Malah, mangsa banjir yang mempunyai masalah kewangan dan tidak dapat meneruskan pembayaran boleh tampil berunding dengan PTPTN bagi menstrukturkan semula pinjaman atau pembiayaan mereka," katanya pada sidang media Misi Bantuan Pasca Banjir PTPTN, di sini hari ini.

PTPTN memperuntukkan sebanyak RM2 juta kepada kesemua negeri terjejas dengan mensasarkan bantuan kepada lebih 28,000 murid sekolah di kawasan terjejas termasuk Kelantan, Pahang, Terengganu dan Perak.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 January 2015 @ 12:22 PM