FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Inisiatif kerajaan Sarawak membantu pelajar dalam kalangan anak negeri itu membayar balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), wajar dicontohi kerajaan negeri lain.

PTPTN dalam kenyataan hari ini memaklumkan, kerajaan negeri lain wajar menjadikan usaha Sarawak membantu rakyatnya membayar baki hutang pinjaman PTPTN, sebagai pilihan utama bagi pemberian insentif dalam perancangan Belanjawan Negeri untuk manfaat rakyat.

"Cadangan ini dilihat amat sesuai di kala rakyat terkesan akibat penularan pandemik Covid-19. PTPTN sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan kerajaan-kerajaan negeri di seluruh Malaysia dalam merealisasikan inisiatif ini, bagi memastikan kebajikan para peminjam," demikian menurut kenyataan itu.

Sarawak melalui Yayasan Sarawak telah membantu sehingga 9,000 peminjam menyelesaikan 30 peratus daripada baki hutang pinjaman PTPTN, dengan peruntukan sebanyak RM30 juta pada 5 Mac lalu.

Peminjam tersebut terdiri daripada anak-anak Sarawak yang telah menyelesaikan sekurang-kurangnya 30 peratus daripada pinjaman PTPTN mereka, dan Sarawak satu-satunya kerajaan negeri yang memulakan usaha proaktif tersebut.

Menurut kenyataan itu, inisiatif berkenaan dilaksanakan berdasarkan polisi dan prosedur yang ditetapkan oleh Yayasan Sarawak.

Peminjam PTPTN tidak perlu mengemukakan sebarang permohonan dan boleh membuat semakan bagi nama peminjam yang layak melalui portal rasmi PTPTN (ptptn.gov.my/SemakanInsentifBayaranBalikAnakSarawak) mulai 15 Mac 2021

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Mac 2021 @ 1:11 PM