GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) perlu mendapatkan data yang dikemas kini dan mengkategorikan peminjam bagi memastikan tiada pihak yang tidak membayar semula pinjaman pembiayaan mereka.

Pakar Pendidikan, Prof Datuk Dr Abdul Rashid Mohamed berkata, kaedah itu boleh dilaksanakan supaya PTPTN dapat membezakan sebab sebenar peminjam tidak membuat pembayaran balik.

"Berikutan seramai 539,284 peminjam PTPTN yang tidak pernah membuat bayaran balik, pertamanya agensi itu perlu mendapatkan data yang bukan saja dikemaskini, tetapi juga yang dapat membezakan alasan sebenar kenapa mereka tidak membayar balik pinjaman.

"Selepas itu letakkan mereka dalam kategori seperti tiada alasan, alasan tidak kukuh, alasan kukuh dan lain-lain agar lebih mudah untuk mencari punca mengapa tidak boleh membuat pembayaran.

"Bagaimanapun, kita juga perlu prihatin terhadap masalah yang mereka (peminjam) hadapi terutama ketika ini yang mana peluang pekerjaan tidak menentu dan gaji sangat rendah berbanding dengan kos sara hidup lebih tinggi," katanya kepada Harian Metro.

Kedua, menurut beliau, PTPTN perlu memiliki sistem penjejak yang lebih efisyen terutama untuk peminjam yang bekerja dengan kerajaan yang mana potongan gaji secara tetap dan berjadual perlu dibuat.

Selain itu, katanya, peminjam yang bekerja di sektor swasta pula perlu dikenal pasti untuk memastikan majikan membuat potongan gaji secara berjadual.

Sementara itu, beliau berkata, perasaan bertanggungjawab perlu di tanam kepada semua rakyat Malaysia sejak kecil lagi.

"Ada dalam kalangan pemimpin yang korup yang terlepas daripada menunaikan tanggungjawab.

"Kita perlu ada kepimpinan bertauladan dan selain itu, PTPTN juga harus menghubungi peminjam dan beri mereka peluang membayar balik mengikut kemampuan mereka," katanya.

PTPTN sebelum ini turut meringankan beban peminjamnya yang terjejas akibat banjir dengan memberikan penangguhan bayaran balik pinjaman PTPTN selama tiga bulan.

Peminjam yang terkesan boleh mengemukakan permohonan kepada PTPTN bermula 28 Disember lalu hingga 31 Mac ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 January 2022 @ 6:02 PM