Kuala Lumpur: Standard Chartered Bank (Standard Chartered) mengunjurkan Malaysia mampu mencapai sasaran tiga peratus defisit walaupun berdepan dengan situasi mencabar dari segi kejatuhan harga minyak dan kemerosotan nilai ringgit bersandarkan unjuran 5.5 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun ini.

Tahun lalu, ekonomi negara diunjurkan mencecah 5.9 peratus dan tahun ini walaupun angka itu sedikit menurun, tetapi ia masih berkembang pantas berbanding antara 2001 hingga 2013 yang mana tahap peningkatannya secara purata 4.8 peratus setahun.

Ketua Penyelidik Rantau Asia Tenggara Kajian Global, Edward Lee berkata, penggunaan domestik masih mapan dalam mengukuhkan prestasi ekonomi negara dan kepelbagaian perolehan negara yang lain turut menyumbang.

Beliau berkata, kemerosotan nilai ringgit juga memberi kesan positif kepada peningkatan perdagangan memandangkan akan meningatkan permintaan dan pelaburan asing.

“Ekonomi melebihi lima peratus masih dilihat baik dan sekiranya kerajaan tidak menambah modal perbelanjaan (capex) daripada peruntukan yang ditetapkan sebelum ini prestasi KDNK akan terus mengukuh.

“Selain itu, kita berharap tidak akan berlaku kejatuhan gas asli cecair, komoditi dan minyak sehingga 50 peratus kerana ia boleh menurunkan sedikit peratusan KDNK Malaysia,” katanya pada Taklimat Kajian Global 2015 di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 January 2015 @ 5:31 AM