Hafiz Ithnin dan Sofyan Rizal Ishak

Kuala Lumpur: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pengubahsuaian dan intervensi terhadap Bajet 2015 yang antara lain menggariskan tiga strategi utama untuk memastikan negara mencapai pertumbuhan KDNK antara 4.5 hingga 5.5 peratus pada tahun ini.

Strategi utama berkenaan adalah memastikan pertumbuhan ekonomi yang seimbang, inklusif dan mapan; meneruskan pengubahsuaian fiskal dan penyelarasan serta menyediakan bantuan kepada rakyat dan komuniti perniagaan bagi membina semula infrastruktur yang terjejas akibat banjir.

Dalam perutusan khas semalam, Najib berkata kerajaan tetap yakin keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara akan berkembang antara 4.5 peratus hingga 5.5 peratus pada 2015.

“Nilai mata wang yang merosot disebabkan pengaruh ekonomi global dan ringgit bukan satu-satunya mata wang yang menyusut sejak September tahun lalu.

“Ketidaktentuan ini berlaku disebabkan kebimbangan impak kejatuhan harga minyak dunia ke atas ekonomi,” katanya.

Menurutnya, untuk memastikan keadaan ini tidak membimbangkan, kerajaan akan memantau beberapa perkara secara serius termasuk memastikan akaun semasa dalam imbangan pembayaran perlu sentiasa dalam keadaan lebihan.

“Selain itu, kita juga perlu pastikan aktiviti ekonomi negara dipelbagaikan untuk terus menghadapi kejatuhan harga minyak dan komoditi,” katanya.

Najib berkata, imbangan akaun semasa mempunyai kaitan langsung dengan imbangan perdagangan import dan eksport memandangkan Malaysia adalah negara pengeksport minyak.

“Bagi minyak mentah, kita adalah pengeksport bersih dengan lebihan eksport sebanyak RM7.7 bilion bagi tempoh Januari hingga November 2014 manakala, bagi produk petroleum kita adalah pengimport berish dengan nilai lebihan import sebanyak RM1.2 bilion.

“Maka, tanggapan umum selama ini bahawa Malaysia adalah pengeluar minyak yang berlebihan adalah tidak benar,” katanya.

Sebaliknya, Najib berkata, sekiranya dicampur eksport serta import minyak mentah dan ditolak produk petroleum, maka, Malaysia sebenarnya adalah negara pengimport bersih petroleum.

“Perkiraan ini tidak termasuk Gas Cecair Asli (LNG) di mana Malaysia masih negara pengeksport bersih,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 January 2015 @ 7:44 AM