Canberra: Korea Selatan memulakan kempen Piala Asia dengan kemenangan tipis 1-0 ke atas Oman, semalam hasil jaringan Cho Yong-cheol pada minit terakhir separuh masa pertama.

Jurulatih Korea Selatan, Uli Stielike berharap kemenangan tipis itu mampu memberi kelebihan untuk perlawanan berikutnya.

Korea Selatan berkongsi tangga teratas Kumpulan A bersama Australia dengan tiga mata biarpun Socceroos mempunyai kelebihan jaringan selepas menang 4-1 ke atas Kuwait kelmarin.

Bermain dalam hujan, kedua-dua pasukan memiliki peluang pada separuh masa pertama. Sepakan bintang penyerang Korea Selatan, Son Heung-min terkena palang gol pada minit ketujuh.

Oman menerusi penyerang mereka, Qasim Said dan Abdulaziz Al-Maqbali pula gagal memanfaatkan peluang terhidang.

Satu-satunya gol perlawanan itu hadir apabila bekas penjaga gol Liga Perdana Inggeris, Ali Al Habsi hanya mampu menepis percubaan Koo Ja-cheol dan Cho menyambutnya untuk meledak gol kemenangan.

Koo hampir menggandakan penguasaaan Korea Selatan, namun tandukannya berjaya ditolak keluar melepasi palang oleh Al Habsi.

Korea Selatan mendominasi separuh masa kedua apabila Lee Chung-yong dan Son hampir menggandakan jaringan mereka.

“Saya suka memulakan kejohanan seperti ini dalam perlawanan mencabar dan belajar daripada kesilapan, berbanding menang 5-0 dan semua orang berkata anda akan menjulang piala,” kata.

“Pada separuh masa kedua, kami lebih tenang dan terkawal, permainan kami jauh lebih baik.”

Jurulatih Oman dari Perancis, Paul Le Guen berkata pasukannya memberikan yang terbaik dan bertarung bermati-matian di padang.

Dia tidak sabar menantikan perlawanan berikutnya menentang Australia di Sydney, Selasa depan.

“Apa pun sebabnya, pasti sukar ketika menentang Australia tetapi kami akan melawan,” katanya. - AP

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 January 2015 @ 5:06 AM