Pada 27 dan 28 Jun lalu, wajah penyanyi 80-an, Zur Eda, 50, cukup ceria dan bersemangat menyertai jualan Bazar Syukur Selalu di perkarangan Balai Berita NSTP, Bangsar.

Penyanyi yang popular dengan lagu Pelitaku, Lama Tak Jumpa dan Kelmarin itu mengusahakan perniagaan biskut raya, Zur Eda’s Choice yang dibuatnya sendiri sejak 15 tahun lalu.

Tentunya Ramadan dan Syawal yang bakal kita sambut Jumaat ini menjadi ruang terbaik untuknya mencari rezeki selain memenuhi undangan menyanyi.

Bagaimanapun, Selasa lalu, Zur Eda dimasukkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) kerana jangkitan kuman pada buah pinggangnya.

Doktor mengatakan ada jangkitan kuman dan perlu menjalani pembedahan mengeluarkan nanah dari buah pinggang. Sebelum ini pada 2009, Zur Eda pernah terlantar di PPUM selama dua bulan kerana masalah buah pinggang bengkak tetapi keadaannya sihat selepas itu menyebabkan berita dimasukkan ke hospital mengejutkan rakan-rakan seangkatan dan peminat.

Menurut anaknya, Siti Sarah Zulkifli, 26, tiga hari sebelum itu ibunya demam dan muntah serta sakit perut hingga dibawa ke hospital apabila keadaannya makin teruk.

Walaupun ibunya merayu jangan dibawa ke hospital kerana mahu berpuasa dan berhari raya di rumah, anak-anak dan suami terpaksa membawanya ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Pegawai Perhubungan Awam (PRO), Mas Omar dan isteri, Sawiah Ali yang sama-sama berniaga di Bazar Syukur Selalu, menziarahnya Jumaat lalu.

Katanya, Zur Eda masih belum sedar selepas pembedahan disebabkan ubat diberi doktor supaya dapat berehat. Keadaannya dikatakan stabil dan perlukan masa untuk berehat.

Bagi Mas Omar dan isteri, hubungannya dengan artis 80-an memang rapat dan sering berjumpa dalam majlis undangan. Zur Eda disifatkan peramah dan sering menguntum senyum.

Semoga Zur Eda cepat sembuh dan dapat sama-sama meraikan Aidilfitri bersama keluarga. Zur Eda juga pernah merakamkan lagu raya, Ucap Selamat Hari Raya bersama rakan artis lain, Siti Fairuz, Salwa Abdul Rahman, Nassier Wahab dan Rohana Jalil dalam album Senandung Mesra Aidilfitri, tiga tahun lalu. Mas Omar turut menyanyikan lagu Boria Aidilfitri.

Pembabitan Zur Eda sebagai penyanyi bermula di kelab malam antaranya Traffick Light dan Black Jack. Walaupun mendapat bantahan dari keluarga, dia teruskan juga. Malah kerana minat dan cintanya pada seni, sanggup tolak tawaran belajar di Australia.

Ketika menyanyi di Black Jack, dia berkenalan dengan Zulkifli Mohd Yusoff, pemain gitar bass di kelab itu dan mereka berkahwin pada 1985 dan kini mempunyai dua anak, Siti Sarah, 26, dan Mohd Naqib, 19.

Pada 1987, Zur Eda ditawarkan bekas pemain keyboard Carefree, Charles Paiva dan Zali Kamari untuk merakamkan album dan lahirlah album pertama, Pelitaku diikuti album Lama Tak Jumpa (1990) dan Kelmarin (1993).

Tiga lagu itu terus popular hingga kini.

Zur Eda antara artis unik dengan muzik berbeza dengan artis seangkatan hingga digelar Saade Malaysia kerana penampilannya persis penyanyi yang popular dengan lagu Smooth Operator.

Melalui jatuh bangun sebagai insan seni, semangat juang Zur Eda dalam seni tidak pernah padam. Lagu Pelitaku turut dirakam versi baru.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Julai 2015 @ 5:02 AM