INI adalah foto hiasan
INI adalah foto hiasan


PINTU kaca empat bank di Ipoh pecah dipercayai akibat perbuatan khianat selepas ditembak menggunakan senapang angin oleh individu tidak dikenali, hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Supt Abdul Rani Alias berkata pihaknya menerima dua laporan di Balai Polis Daerah Kampung Rapat pada 2.25 pagi ini, selepas pintu kaca dua bank pecah di Medan Gopeng.

“Kita kemudiannya menerima laporan kejadian yang sama berlaku di sebuah bank di Pusat Perniagaan Greentown dan Jalan Yang Kalsom, Pekan Baru, masing-masing pada 8.50 dan 8.05 pagi.

“Selepas diperiksa di kesemua bank itu, kita mendapati kaca pada pintu masuk mesin teler automatik (ATM) pecah. Bagaimanapun, semua mesin dalam keadaan baik,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Abdul Rani berkata hasil pemeriksaan di kawasan itu tidak menjumpai sebarang objek yang dipercayai digunakan suspek dalam kejadian itu.

“Kita sudahpun menghubungi pihak pengurusan bank bagi melihat kembali rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di setiap bank dan kita hanya boleh meneliti setiap video Isnin ini,” katanya.

Abdul Rani berkata, hasil siasatan mendapati suspek dipercayai menggunakan senapang angin selepas melihat kesan kaca yang pecah di setiap bank.

“Mesin ATM dan mesin deposit tunai (CDM) tidak mempunyai kesan diusik atau cuba dipecahkan. Kita percaya motif utama kes ini mungkin khianat,” katanya.

Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Mei 2017 @ 6:05 PM