GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Mersing: Dua lelaki berdepan detik cemas apabila terperangkap kira-kira setengah jam di ruangan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) sebuah bank, di sini, tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Mersing Superintendan Abdul Razak Abdullah Sani berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 12.10 tengah malam selepas pintu automatik (roller shutter) bank berkenaan tertutup.

Beliau berkata, susulan itu, Unit Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah Mersing dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dikejarkan ke lokasi kejadian untuk membantu menyelamatkan mangsa.

"Bagaimanapun, pintu itu telah dibuka oleh kakitangan bank kira-kira 30 minit kemudian dan kedua-dua mangsa berjaya diselamatkan tanpa mengalami sebarang kecederaan," katanya ketika dihubungi Bernama, di sini hari ini.

Abdul Razak turut menasihati orang ramai agar peka dan mematuhi notis yang dikeluarkan oleh mana-mana institusi perbankan mengenai waktu operasi dan amaran mengenai tempoh masa pintu yang ditutup secara automatik.

Terdahulu, tular sebuah video berdurasi 18 saat dalam media sosial yang memaparkan dua lelaki terperangkap di dalam bank berkenaan dengan kehadiran beberapa anggota polis dan JBPM di pekarangan bank itu.

i

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 April 2023 @ 6:01 PM