BARISAN peserta MLM2017.
BARISAN peserta MLM2017.
Syanty Octavia Amry


Kembali untuk musim keenam, program realiti lawak popular Maharaja Lawak Mega (MLM) 2017 tampil dengan wajah baru.

Mempertaruhkan bakat daripada 15 kumpulan dan tiga daripadanya adalah pelawak solo, MLM 2017 bakal menemui penonton bermula 17 Februari ini.

Ketua Saluran Melayu Astro, Rakim Ahmad berkata, ramai pelawak baru yang menyertai program ini dan lapan daripada mereka adalah peserta program Lawak Solo musim pertama.

“Ini adalah penyertaan pertama kali lapan peserta program Lawak Solo. Ada antara mereka yang beraksi secara solo dan ada juga yang digabungkan dalam kumpulan.

“Bukan itu saja, penonton boleh menyaksikan juara MLM2014 iaitu Zero dan juara MLM2016, Bocey berentap di pentas yang sama,” katanya.

Antara peserta Lawak Solo ialah juaranya, Danial dan finalisnya, Mat Sabah.

Selain itu, MLM2017 turut menampilkan peserta dari Singapura iaitu kumpulan Masin yang dianggotai Vicha, Mamat dan Jiggy serta Indonesia iaitu Abioso yang dianggotai Amin, Sarip dan Mamat.

Seorang lagi peserta solo dari Indonesia ialah Dzawin.

Sementara itu, antara peserta yang memang dikenali sebelum ini ialah kumpulan Zero yang dianggotai Atu, Sharif dan Syaiful, Shiro (Ajak & Shahrul), Bocey (Abam, Fad & Achey), Joras (Rahim, Joey & Syuk) dan Mamu (Ajo & Babu).

Turut menyertai MLM2017 ialah kumpulan Xoxo yang dianggotai Wan, Wan Gegau dan Chot, Nice (Achong, Ropie & Tauke), Pistol (Raja Azri & AG Hafiz), Puteh (Mamak & Ali) dan Hobit ( Amir, Bocil & Din).

Raqim berkata, MLM2017 masih mengekalkan format yang sama seperti musim sebelum ini iaitu 70 peratus dihakimi juri tetap dan 30 peratus oleh penonton.

Pemenang bakal membawa pulang wang tunai RM500,000 berserta trofi manakala naib juara menerima RM250,000 berserta trofi.

Tempat ketiga akan membawa pulang wang tunai RM150,000 sementara RM50,000 dan RM25,000 bagi tempat keempat dan kelima.

MLM2017 disiarkan secara langsung dari Royal Teater Shah Alam di saluran Astro Warna dan serentak di Mustika HD jam 10 malam setiap Jumaat mulai 17 Februari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Februari 2017 @ 5:29 AM