Tan (kiri) dan Lim dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas 18 pertuduhan menerima suapan dan mengemukakan tuntutan palsu berhubung projek pemasangan paip gas Petronas sebanyak RM8.4 juta, enam tahun lalu. FOTO Asyraf Hamzah
Tan (kiri) dan Lim dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas 18 pertuduhan menerima suapan dan mengemukakan tuntutan palsu berhubung projek pemasangan paip gas Petronas sebanyak RM8.4 juta, enam tahun lalu. FOTO Asyraf Hamzah
Murni Wan Omar


Kuala Lumpur: Seorang pengarah dan seorang pengurus sebuah syarikat kontraktor dihadapkan ke tiga Mahkamah Sesyen, di sini, atas 18 pertuduhan menerima suapan dan mengemukakan tuntutan palsu berhubung projek pemasangan paip gas Petronas sebanyak RM8.4 juta, enam tahun lalu.

Tan Tian Hock, 61, dan Lim Oii Hwa, 48, dari Syarikat Algotech (M) Sdn Bhd bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan.

Tan didakwa atas tiga pertuduhan menerima suapan daripada empat individu membabitkan jumlah RM330,000.

Lim pula dihadapkan dengan 15 pertuduhan menerima suapan daripada enam individu membabitkan jumlah RM1.08 juta.

Mereka juga didakwa secara bersama-sama memalsukan tuntutan pelaksanaan kerja berjumlah RM7 juta daripada Petronas Gas Berhad sedangkan ia tidak pernah dilaksanakan.

Bagi pertuduhan menerima rasuah, mereka didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan, jika sabit kesalahan.

Manakala bagi pertuduhan membuat tuntutan palsu, mereka didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan, jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Mei 2017 @ 4:57 PM