ANTARA Ikon yang dihasilkan.
ANTARA Ikon yang dihasilkan.
MENATARIAS wajah pelanggan.
MENATARIAS wajah pelanggan.
SEBAHAGIAN karya kebanggaan Roza.
SEBAHAGIAN karya kebanggaan Roza.
Intan Mas Ayu Shahimi


Jarang sekali melihat jurumekap muda bergaya, sopan dan lembut tutur katanya. Bukanlah tidak ada, namun wanita ini cukup unik untuk digambarkan dengan kata-kata.

Dengan penampilan kemas dan ringkas, Rozaidah Khair Johari, 27, atau mesra dipanggil Roza sememangnya memiliki personaliti menawan. Anak keempat daripada lima beradik ini cukup manis tatkala melempar senyuman. Lirik matanya manja, namun tajam dan teliti setiap kali menumpahkan idea.

Melihat caranya bekerja, wanita ini seorang yang menepati masa, kreatif dan profesional. Selain dikenali sebagai jurumekap artis, Roza sebenarnya pelukis wanita berbakat. Karyanya kini menjadi tumpuan pengumpul lukisan luar negara, termasuk dari Hong Kong, China.

“Kalau bercerita mengenai seni, minat saya memang cenderung ke arah mekap dan lukisan. Saya mula berjinak-jinak dengan alat solek milik ibu ketika usia tadika. Mungkin kerana ibu juga seorang yang sukakan mekap, jadi alat soleknya memang pelbagai.

“Apabila usia menginjak lapan tahun, saya sudah mula menatarias wajah adik-beradik dan saudara. Alat solek yang dulunya kepunyaan ibu sudah menjadi hak sendiri. Sementara ibu pula terpaksa membeli yang baru dan disorok daripada pengetahuan saya,” katanya sambil tertawa.

Disebabkan minat yang mendalam, Roza nekad menduduki peperiksaan Pendidikan Seni ketika Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), walaupun berada dalam aliran Sains Tulen.

“Alhamdulillah, walaupun tidak pernah belajar subjek Seni, saya mendapat keputusan cemerlang ketika SPM. Dari situlah saya mengembangkan bakat melukis secara serius.

“Bermula dengan Diploma Seni Halus di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Seri Iskandar, Perak, saya kemudian menyambung pelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana Muda di UiTM Shah Alam dan kini memiliki Ijazah Sarjana Seni Halus.

“Dalam tempoh tujuh tahun belajar, saya langsung tidak pernah rasa penat, bosan atau terpaksa. Semuanya bagaikan rutin harian. Terbukti apabila melakukan apa yang kita suka, hidup ini tidak akan pernah rasa terbeban. Malah, saya teruja menanti waktu sesuai untuk menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Kedoktoran (PhD) dalam bidang sama,” katanya.

Melangkah setapak ke depan, Roza berkata, tahun ini dia begitu sibuk merencana kehidupannya sebagai jurumekap artis (MUA), pelukis dan usahawan bulu mata palsu.

“Rumah kami di Bandar Saujana Putra dalam proses ubah suai. Saya bercadang menempatkan ruang studio khas untuk melukis dan bilik mekap. Jika semua kerja berjalan lancar, kemungkinan operasi studio akan bermula selepas Aidilfitri kelak.

“Ketika ini saya sudah menghasilkan lebih 50 lukisan termasuk yang dihantar ke Hong Kong untuk pengumpul lukisan siri Panda di sana. Ada sebahagian lukisan turut dihantar ke Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) dan galeri sekitar Lembah Klang,” katanya yang mengakui lebih cenderung ke arah lukisan subjek seperti potret, figura atau haiwan.

LUKISAN DAN SOLEKAN

Tidak kira lukisan atau solekan, Roza percaya kedua-duanya harus dibangunkan seiring dengan konsep untuk memastikan hasil karya terserlah menepati kehendak diri mahupun pelanggan.

“Konsep ialah elemen paling penting dalam menyampaikan maksud sesebuah karya lukisan. Begitu juga dengan mekap. Saya selesa bekerja mengikut konsep yang ditetapkan pelanggan, sama ada glamor, Bollywood, tatarias pengantin, ringkas atau solekan sarat.

“Apa yang berbeza adalah permukaan untuk saya berkarya. Melukis biasanya dilakukan di atas kanvas. Permukaan dua dimensi memerlukan kreativiti dan imaginasi untuk menghidupkan satu-satu figura. Namun, dalam menyempurnakan sebuah karya terbaik, masa bukanlah satu kekangan.

“Sementara kerja menatarias wajah pula membabitkan permukaan tiga dimensi. Ia bukan saja tertakluk kepada had masa tertentu, malah tidak boleh berpatah balik. Semuanya harus spontan dan inilah masanya saya perlu bergantung penuh kepada pengalaman dan kemahiran tidak kira sama ada melukis atau menata wajah.

“Pokok pangkalnya, sama ada ilmu melukis atau ilmu solekan, ia sama-sama membantu melengkapkan kemahiran, sekali gus menghidupkan hasil karya,” katanya.

SERONOK MENATARIAS

Andai melukis memerlukan penelitian, fokus dan masa yang panjang, menyolek wajah pula hanya menuntut sebahagian kecil daripada itu.

“Sama seperti orang lain, saya juga ada mengikuti kelas mekap bersama Kryolan dan MUA Alha Alfa. Selain itu, saya juga banyak merujuk video tutorial di YouTube, mengikut MUA dan mak andam.

“Masa kecil dulu, saya antara orang yang sibuk menyelit dalam bilik pengantin untuk melihat mak andam menatarias pengantin. Apabila sudah besar, saya ikut rakan MUA menyolek pelanggan mereka.

“Saya perhatikan teknik solekan dan belajar secara langsung kaedah tertentu. Kemudian, barulah saya cuba mempraktikkan teknik sama, tetapi dengan cara tersendiri. Selalunya yang menjadi mangsa ialah emak, adik dan rakan rapat,” katanya.

Roza mengakui, dia banyak bertatih dari awal, mengumpul alat solek dengan wang sendiri dan menawarkan khidmat solekan secara sambilan ketika di UiTM.

“Selepas betul-betul yakin, barulah saya terbabit secara profesional selepas tamat pengajian pada 2015. Saya gunakan wang simpanan untuk membeli stok mekap baru bagi memenuhi keinginan diri dan pelanggan.

“Selain sokongan keluarga, saya juga beruntung kerana mempunyai suami yang banyak membantu. Suami ibarat tulang belakang selepas keluarga. Sejak kami belum berkahwin, dia sudah kerap menemani saya menatarias pelanggan tidak kira di masa saja,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Mei 2017 @ 1:22 PM