NUR Edayu lebih dikenali dengan nama EL Manda Zuhairy.
NUR Edayu lebih dikenali dengan nama EL Manda Zuhairy.
Intan Mas Ayu Shahimi

Dari dapur ke pentas solekan. Terlalu jauh wanita muda ini menukar bidang karier. Dulu, Nur Edayu Baharudin, 31, adalah cef di hotel terkemuka di ibu kota. Namun, disebabkan kekangan masa menguruskan kerja dan keluarga, dia melepaskan gelaran cef.

Hari ini Nur Edayu semakin dikenali dalam kalangan penggiat industri hiburan dan selebriti dengan nama El Manda Zuhairy. Menariknya, wanita ini tidak sekadar bermodalkan berus dan alat solek semata-mata, tetapi banyak mengikuti kelas solekan mekap artis (MUA) ternama.

Kata Nur Edayu, dia bertuah kerana keluarga dan kenalan rapat banyak memberi dorongan dan sokongan untuk dirinya terus maju dalam bidang yang diceburi ini. Lebih dari itu, dia bersyukur dengan bakat yang dikurniakan Allah SWT.

“Jika melihat kelayakan akademik, memang saya mempunyai Diploma Seni Masakan dari Universiti Teknologi MARA (UiTM). Biarpun sayang meninggalkan kerjaya sebagai cef, saya tetap gembira kerana berpeluang bergelar jurusolek profesional,” katanya.

Menurut Nur Edayu, dengan bakat seni yang ada, dia berupaya mengolah perasan, jiwa dan fikiran kepada wajah kosong menerusi solekan.

“Saya dibesarkan sebagai anak tentera dan sudah terbiasa hidup berdikari. Minat kepada aktiviti lasak dan ekstrem juga tinggi, namun naluri sebagai wanita tidak pernah menidakkan minat saya kepada seni kecantikan.

“Dari situ, minat yang pada mulanya hanya hobi, bertukar menjadi karier utama. Saya memulakan kerjaya dalam bidang solekan pada 2013 dengan menata rias pelanggan yang mahu ke majlis makan malam, bertunang, hinggalah kepada pengantin.

“Bagi memantapkan ilmu dan kemahiran solekan, saya ikuti kelas solekan MUA profesional ternama antaranya Epie Temerloh, Sheila Mohamad, Suhaib Daud, Nuex Rosli, Rose JR, Khaibaha dan Alha Alfa. Selain itu, ada juga kelas dari MUA luar negara seperti Alessandro Alecantara (Brazil), Basslana (Thailand) dan Bima Chang (Indonesia),” katanya.

Menyinar

Jelas Manda, kerjaya sebagai seorang MUA profesional cukup menyeronokkan. Tatkala dirinya diberi tanggungjawab besar untuk memastikan wajah pelanggan dirias cantik, dia lebih suka hasil tangannya nampak eksklusif, bertepatan tema, tempat dan acara.

“Saya sentiasa berpegang kepada prinsip, ‘beri jiwa pada wajah’. Pada saya, seorang MUA profesional perlulah memiliki ilmu merias wajah yang betul. Sebagai tanda pengenalan diri saya, memang hasil mekap yang dibuat bersifat ‘beauty on the go’. Solekan minimalis memadai dengan hanya sedikit sentuhan pop-up di mata. Jika betul teknik dan gayanya, itu sudah cukup untuk menyerlahkan kecantikan pada wajah pelanggan,” katanya.

Menyentuh susah payah membina jenama sendiri, kata Nur Edayu, dia melalui liku perjalanan yang panjang untuk sampai ke tahap sekarang. Banyak masanya dipertaruh untuk mengikuti pertandingan solekan tidak kira sama ada di Malaysia mahu pun peringkat di antarabangsa.

SATU daripada 31 jambatan besar merentasi Sungai Han di Seoul.
SATU daripada 31 jambatan besar merentasi Sungai Han di Seoul.

“Macam-macam genre mekap yang saya buat. Daripada ‘beauty’ sampailah ‘high fashion’, avant-garde dan kesan khas (sfx). Alhamdulillah, hasil solekan saya banyak yang menambat hati juri dan selalu mendapat tempat dalam pertandingan.

“Saya juga pernah menjuarai cabaran mekap (dua muka) anjuran Persatuan Jurusolek Artis Bumiputera Malaysia (MBMUAA) di Ekspo Kecantikan Antarabangsa. Dari situ, saya tersenarai sebagai peserta pertandingan mekap avant-garde anjuran International Mastery Award di peringkat antarabangsa.

“Menerusi pencapaian sebegini saya kian dikenali ramai dan mula mendapat tawaran kerja menata rias model terkemuka saluran televisyen, majalah, produk dan pelbagai lagi.

“Pada masa sama, ada juga tawaran menata rias selebriti terkenal tempatan untuk acara hiburan, penampilan media dan penggambaran,” katanya.

Jika diputar kembali masa, Nur Edayu berkata, artis paling awal yang pernah disolek dulu adalah personaliti rancangan, Dayah Bakar. Hari ini, dia selalu menjadi pilihan Sara Zulkifli dan Alif Satar.

“Cabaran sepanjang membina kerjaya tetap masa. Kadangkala kekangan masa dan kerja yang tidak menentu menyulitkan saya. Dalam kebanyakan waktu, saya juga terpaksa berjauhan dengan keluarga kerana seharian bersedia di lokasi penggambaran.

“Namun, penyelesaian yang ada hanya diri sendiri. Saya perlu bijak membahagikan masa antara keluarga dan kerja. Sokongan keluarga selalu menjadi penguat semangat untuk terus maju ke depan.

“Bagaimanapun, tidak dinafikan kerjaya sebagai MUA banyak meninggalkan memori manis. Saya pernah dilantik sebagai jurucakap rasmi jenama pengeluar gincu antarabangsa.

“Selebihnya, saya gembira apabila pelanggan berpuas hati dengan hasil solekan dan mahu terus mendapatkan khidmat atau kerjasama di masa akan datang,” katanya.

ROBOT mudahkan perjalanan pelancong sebaik tiba di lapangan terbang Incheon.
ROBOT mudahkan perjalanan pelancong sebaik tiba di lapangan terbang Incheon.

Jaga penampilan

Suatu hal yang mencuit hati, Manda mengakui suaminya selalu meneliti idea seni MUA lain yang dilihat menarik untuk dipelajari. Mungkin kerana adanya media sosial hari ini, suaminya lebih terbuka berkongsi idea setiap kali terlihat hasil kreativiti menarik.

“Suami juga selalu menghantar saya mengikuti kelas solekan untuk mempelbagaikan ilmu dan kemahiran. Dia juga rajin melanggan majalah luar negara untuk rujukan saya pada masa lapang.

“Selain bantuan suami dan keluarga, saya memang mengagumi hasil karya hebat daripada MUA profesional negara iaitu Khir Khalid. Beliau menjadi inspirasi saya untuk berjaya sepertinya.

“Bagaimanapun, saya harap dapat membina perniagaan seiring dengan profesion. Ramai tidak tahu potensi bergelar MUA profesional. Kita perlu versatil dalam berkarya. Mintalah apa saja jenis solekan, MUA yang hebat pasti boleh buat.

“Itulah yang membezakan kemampuan dan kehebatan MUA. Selain itu, saya selalu mengingatkan diri untuk menjaga penampilan dan imej tidak kita berada di mana kerana diri MUA adalah aset yang perlu dijaga,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Oktober 2018 @ 2:17 PM