PENGALAMAN 16 tahun menjadikan Azza ‘masak’ dengan keperluan pengantin.
PENGALAMAN 16 tahun menjadikan Azza ‘masak’ dengan keperluan pengantin.
Yusliza Yakimir Abd Talib

Tanya saja mana-mana mak andam atau jurumekap, pelbagai aspek diambil kira bagi memastikan pengantin kelihatan menyerlah berbanding hari biasa.

Daripada bentuk wajah dan warna kulit pengantin hinggalah tema majlis menjadi keutamaan dalam menyerlahkan keanggunan raja sehari.

Namun, tanpa penggunaan teknik mekap yang betul, hasil solekan pasti tidak menarik malah mungkin kelihatan kusam tidak bermaya.

Perkara asas perlu dilakukan untuk membolehkan mekap diadun sempurna pada wajah adalah memastikan proses membersih, menyegar serta melembap dilakukan sebaik mungkin sebelum memulakan solekan.

Bagi jurusolek berpengalaman, Azauyah Mohd Ridzuan, 39, solekan dan andaman yang menarik sentiasa menjadi tunjang kepada sesebuah majlis perkahwinan.

Justeru katanya, tidak hairan apabila ia menjadi perkara pertama dalam merancang sesebuah majlis, selain menyediakan hidangan makanan yang enak dan mencukupi untuk tetamu.

“Andaman pengantin ialah perkara asas paling utama yang dititikberatkan pasangan yang bakal melangsungkan perkahwinan supaya kelihatan cantik dan menawan pada hari paling bersejarah dalam hidup.

“Sebab itu, saya memastikan pelanggan mendapat sentuhan terbaik dan sentiasa meminta maklum balas hinggalah mereka berpuas hati melihat penampilan diri pada hari bahagia dan menjadi kenangan terindah,” katanya.

Menurut Azauyah atau mesra disapa Azza, kerjaya sebagai mak andam semakin mendapat tempat, sama ada lelaki ataupun wanita dan kini, banyak pusat latihan dibuka menawarkan pelbagai kursus solekan dan hiasan pengantin.

Kehadiran jurusolek yang semakin bercambah bak cendawan tumbuh selepas hujan dianggap sebagai persaingan sihat kerana baginya setiap jurusolek mempunyai sentuhan berbeza dan tersendiri.

Mula berkecimpung dalam kerjaya sebagai mak andam sejak 16 tahun lalu, Azza berkata, semuanya bermula kerana hobi dan minat yang akhirnya menjadi kerjayanya kini.

Boleh dianggap ‘orang lama’ dalam industri, Azza mengakui perubahan landskap bidang itu amat ketara berbanding 10 tahun lalu. Kini katanya, terdapat begitu banyak pilihan daripada jenama kosmetik dalam dan luar negara yang memudahkan tugas mengandam.

“Seiring peredaran zaman, teknik solekan juga berubah. Dengan teknologi terkini banyak pilihan alat solek yang mudah digunakan dan menjadikan solekan tahan lama. Boleh dikatakan ia agak menjimatkan masa dan menjadikan tugasan jurusolek lebih mudah dan pantas,” katanya.

Ditanya mengenai faktor penting yang perlu ditekankan untuk tampil berseri pada hari bahagia, menurut Azza, mendapatkan tidur yang mencukupi adalah perkara asas utama buat bakal pengantin.

Ini kerana, katanya, rehat yang cukup boleh membuatkan minda dan fizikal lebih relaks malah dapat membangkitkan seri selepas disolek.

“Jika bakal pengantin tertekan apatah lagi tidak cukup tidur, lebih mudah berjerawat dan ini perkara yang perlu dielakkan. Minum banyak air kosong untuk mengekalkan kelembapan kulit.

“Kurang air, kulit lebih mudah kering. Seboleh-bolehnya elakkan masalah dehidrasi apatah lagi jika tarikh hari bahagia semakin dekat. Solekan yang sempurna pun tidak berguna jika kulit tidak dijaga,” katanya.

Meskipun tiada amalan khusus dalam mengandam pengantin, Azza mengamalkan petua seperti menekap ais selama 15 minit pada kulit wajah pelanggannya untuk mengelak daripada cepat berpeluh, alergi dan bagi menjadikan solekan tahan lebih lama.

Selain itu, Azza turut berkongsi beberapa panduan yang boleh diamalkan untuk menyerlahkan kecantikan wanita setiap hari antaranya perlu kekalkan kebersihan diri bukan saja daripada luaran malah dalaman.

Selain itu katanya, penggunaan pelembap kulit dan krim tabir suria perlu dijadikan rutin harian wajib sebelum keluar rumah untuk mengelakkan tanda penuaan yang ketara.

“Pastikan mendapat tidur mencukupi kalau mahu dapat kulit yang sihat. Selain itu amalan minum air kosong sekurang-kurangnya tiga liter sehari bukan saja baik untuk tubuh tapi dapat memastikan kulit sentiasa cantik dan berseri.

“Untuk wanita seusia saya atau menginjak usia 40-an, pengambilan makanan tambahan juga dapat membantu mengekalkan wajah awet muda dan melambatkan proses penuaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Oktober 2018 @ 1:10 PM