Pakaian yang dipakai murid 12 tahun ketika dilarang menyertai Kejohanan Catur Sekolah-Sekolah Peringkat Kebangsaan 2017 oleh penganjur kerana pakaiannya didakwa kelihatan 'menggoda'.
Pakaian yang dipakai murid 12 tahun ketika dilarang menyertai Kejohanan Catur Sekolah-Sekolah Peringkat Kebangsaan 2017 oleh penganjur kerana pakaiannya didakwa kelihatan 'menggoda'.
BERNAMA

Putrajaya: Tindakan penganjur pertandingan catur tidak membenarkan penyertaan murid perempuan berusia 12 tahun kerana memakai gaun didakwa 'menggoda' adalah penafian hak perkembangan dan penyertaan kanak-kanak, kecuali dinyatakan dalam syarat pertandingan jenis pakaian yang tidak dibenarkan.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) berkata, pihak penganjur perlu memberi penjelasan berkaitan isu sebenar kanak-kanak itu tidak dibenar menyertai pertandingan itu, sama ada isu pemakaian atau sebab lain.

“Jabatan Kebajikan Masyarakat sedang mendapatkan maklumat lanjut daripada penganjur berhubung perkara itu,” kata KPWKM dalam kenyataan di sini, hari ini.

KPWKM berkata Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC) yang diretifikasikan pada 1995 menyatakan semua kanak-kanak diiktiraf sebagai individu mempunyai hak asasi untuk membesar dan mendapat perlindungan dalam kehidupan mereka.

Justeru, katanya tindakan penganjur itu adalah penafian satu daripada empat prinsip mendasari CRC, selain hak untuk kehidupan, perlindungan perkembangan dan penyertaan.

Menurut KPWKM, pertandingan catur adalah platform perkembangan kanak-kanak khususnya mengasah bakat terpendam serta kemahiran.

“Peluang penyertaan kanak-kanak bagi aktiviti ini bukan saja memberi rangsangan minda kepada kanak-kanak tetapi peluang bergaul, bertukar-tukar pendapat, berkongsi pengalaman serta interaksi sosial sesama mereka daripada pelbagai kaum, jantina, latar belakang, status sosioekonomi serta kepercayaan agama," katanya.

Pada 14 April lalu, seorang murid perempuan berusia 12 tahun terpaksa menarik diri daripada Kejohanan Catur Sekolah-Sekolah Peringkat Kebangsaan 2017 kerana memakai baju didakwa kelihatan 'menggoda' oleh penganjur.

Gambar yang dikongsi jurulatih murid terbabit di Facebook menunjukkan murid perempuan itu memakai gaun atas paras lutut, menjadi tular dan mendapat kritikan pengguna media sosial.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Mei 2017 @ 7:36 PM