Gambar terkini Ustaz Hanafi. FOTO ihsan Ustaz Hanafi
Gambar terkini Ustaz Hanafi. FOTO ihsan Ustaz Hanafi
Mazizul Dani


Kuala Lumpur: “Ya, rambut saya dah mula gugur kesan daripada tiga kali kimoterapi, badan saya tak kuat sangat, tapi saya tetap pergi ceramah dan program dakwah.”

Demikian kata pendakwah, Ustaz Mohamed Hanafiah Abdul Malek, 43, mengenai keadaan kesihatannya selepas disahkan menghidap kanser limfoma pada 31 Januari lalu.

"Walaupun lemah, saya kena kuat semangat dengan merasai mujahaddah iaitu susah payahnya berdakwah.

"Jadual kerja saya macam biasa, terima jemputan di luar ibu negara. Alhamdulillah boleh berehat sedikit kerana ada pembantu yang memandu kereta," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Kisah beliau yang lebih mesra dipanggil Ustaz Hanafi mendapat perhatian netizen di Facebook (FB) apabila dia memuat naik gambar rambutnya yang gugur dengan kapsyen "Alhamdulllilah.. Ya Allah.. Gugurkan juga dosa-dosaku".

"Kalau saya berceramah, orang tak nampak saya sakit, habis saja ceramah saya akan nampak lemah sehingga pernah terpaksa memendekkan tempoh ceramah.

"Doktor pesan saya tidak boleh terdedah kepada orang yang mengalami batuk atau demam kerana paru-paru saya akan mudah dijangkiti. Jadi saya akan pakai topeng muka," katanya yang mempunyai sembilan anak dan menetap di Taman Sri Gombak, di sini.

Ustaz Hanafi berkata, dia masih kekurangan dana untuk menampung kos baki enam kali kimoterapi dianggarkan RM500,000 walaupun sudah menjual motosikal berkuasa tinggi model Kawasaki GTR1400.

"Kos kimoterapi memang tidak cukup. Saya sudah jual motosikal saya, apapun doakan saya. Saya sangat terharu apabila orang ambil berat pasal saya, tak tahu nak balas jasa orang yang bantu saya.

"Sampai hari ini rasa macam mimpi apabila kisah saya ditularkan. Sebelum ini saya banyak upload (muat naik) kisah orang lain, sekarang orang tular kisah saya," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau sedang menyiapkan Rumah Kebajikan Al Habbah di Selayang, iaitu pusat penempatan anak-anak yatim, miskin, mualaf dan anak-anak terbuang.

Sumbangan untuk rumah berkenaan boleh disalurkan ke akaun CIMB, 8602541165 atas nama Sekolah Tahfiz Al Habba atau Bank Islam Berhad, 122250100003680 atas nama Al Habbah.

Sumbangan peribadi kepada Ustaz Hanafi pula boleh disalurkan ke akaun CIMB, 7001645436, Maybank 162405085541 atau Bank Islam 14162020096634 (Mohamed Hanafiah Abdul Malek).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 April 2017 @ 6:40 PM