Keadaan mangsa selepas menerima rawatan di hospital. FOTO ihsan pembaca
Keadaan mangsa selepas menerima rawatan di hospital. FOTO ihsan pembaca
Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Anggota Persatuan Komuniti Rakan Cop Perak (KRCP) berusia 38 tahun cedera di lengan kanan selepas dilibas dengan parang oleh seorang lelaki yang mengamuk di Jalan Tingkat Kledang 3, Taman Seri Intan, Mengelembu, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian 10.40 malam itu, mangsa bersama lima rakannya yang sedang bertugas ke lokasi selepas dimaklumkan mengenai lelaki berusia 28 tahun sedang mengamuk dengan melibas parang dan memecahkan cermin kereta penduduk.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh Superintendan Abdul Rani Alias berkata, mangsa bersama rakannya cuba menenangkan suspek namun gagal.

Katanya, suspek kemudian bertindak agresif melibas parangnya sehingga terkena lengan kanan mangsa.

"Suspek melarikan diri ke arah Jalan Kledang dan berjaya diberkas polis. Semakan mendapati suspek mempunyai 12 rekod jenayah lampau.

"Mangsa dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk menerima rawatan," katanya.

Abdul Rani berkata, pihaknya juga menerima laporan daripada penduduk selepas kenderaan mereka rosak akibat perbuatan suspek.

Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 April 2017 @ 3:29 PM