Siti Rohana Idris


Tumpat: "Kami sudah biasa mendapat kecederaan ketika menjalankan tugas namun situasi kali ini sedikit tegang kerana membabitkan orang kurang siuman namun Alhamdulillah, kami hanya mengalami kecederaan tidak parah," kata Inspektor Mohd Afifi Jamaludin.

Mohd Afifi, 36, antara mangsa amuk pesakit mental yang juga di bawah pengaruh dadah pada malam Sabtu lalu di Kampung Sedar di sini.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan orang awam yang memaklumkan seorang lelaki mengamuk dengan menggunakan dua senjata iaitu sebilah parang dan pisau di sebuah rumah.

"Saya dan tiga rakan setugas bergegas ke lokasi dan melihat suspek yang berusia 42 tahun bersenjatakan sebilah parang serta pisau tajam sedang mengamuk.

"Ketika mendekatinya seorang daripada kami dilibas di belakang kepala sebelum suspek lari masuk ke dalam bilik.

"Kami mengarahkan semua ahli keluarganya keluar dan memecahkan pintu bilik. Disebabkan keadaan bilik yang gelap, kami membuka lampu dan secara tiba-tiba suspek menerjah ke arah kami sambil melibas senjata," katanya ketika ditemui di perumahan pegawai kanan polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat di Kampung Terbak di sini, hari ini.

SHAFIEN menunjukkan luka sepanjang sembilan sentimeter di belakang kepala Mohamad Firdaus akibat dilibas dengan parang. FOTO Siti Rohana Idris
SHAFIEN menunjukkan luka sepanjang sembilan sentimeter di belakang kepala Mohamad Firdaus akibat dilibas dengan parang. FOTO Siti Rohana Idris

Mohd Afifi berkata, dalam usaha menyelamatkan diri, mereka bergelut dengan suspek dan masing-masing menerima 'habuan' akibat libasan dan cedera di tubuh.

Dalam kejadian jam 8.30 malam itu, Mohd Afifi luka di lengan kanan dan menerima 12 jahitan, Inspektor Chong Yeong Ren, 29, cedera dengan dua kesan libasan di belakang badan, Koperal Mohamad Firdaus Mohd Jamil, 33, mengalami luka sepanjang sembilan sentimeter di belakang kepala manakala Lans Koperal Muhammad Anuar Saidi Azmi, 31, pula luka di belakang tangan.

Mohd Afifi berkata, suspek mengamuk dipercayai selepas tidak mendapat wang sebanyak RM70 daripada ibunya dan nyaris mencederakan ahli keluarga lain.

"Ramai yang mempertikaikan kenapa kami tidak melepaskan tembakan sebaliknya mempertaruhkan nyawa namun bagi kami selagi keadaan mampu ditangani, kami perlu bertindak dengan rasional dan Alhamdulillah, kecederaan yang dialami tidak parah.

"Kerja kami memang sentiasa berdepan dengan risiko sebegini namun demi tugas, kami tidak berasa serik memandangkan kerja juga satu ibadah dan akan digalas sebaik mungkin," katanya.

Terdahulu kesemua mangsa menerima lawatan Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat yang menghulurkan sijil penghargaan atas keberanian mereka.

Sambil memuji keberanian empat pegawai serta anggota itu, Shafien memberi jaminan akan memberi bantuan dari aspek kebajikan untuk kesemua mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Februari 2022 @ 2:44 PM