KEDAI emas di Jalan Kledang, Menglembu dipecah masuk dan polis berjaya menangkap empat lelaki termasuk tiga yang bersembunyi di atas bumbung awal pagi tadi. FOTO Muhaizan Yahya
KEDAI emas di Jalan Kledang, Menglembu dipecah masuk dan polis berjaya menangkap empat lelaki termasuk tiga yang bersembunyi di atas bumbung awal pagi tadi. FOTO Muhaizan Yahya
Mohd Hafizee Mohd Arop dan Farah Suhaidah Othman


POLIS berjaya menggagalkan cubaan pecah kedai emas di Jalan Kledang, Mengelembu, Ipoh, hari ini, dengan tertangkapnya empat lelaki termasuk tiga yang bersembunyi di atas bumbung kedai berkenaan.

Dalam kejadian 4 pagi itu, Balai Polis Mengelembu menerima isyarat daripada penggera keselamatan di kedai itu yang berbunyi sebelum sepasukan anggota yang membuat rondaan bergegas ke lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, anggota yang tiba mendapati penggera keselamatan di kedai itu berbunyi, namun pintu hadapan dalam keadaan berkunci.

Katanya, anggota kemudiannya membuat pemeriksaan di bahagian belakang kedai dan mendapati pintu gril terbuka sebelum menghubungi pemilik kedai berkenaan.

Menurutnya, pemilik kedai berkenaan kemudiannya meneliti kamera litar tertutup (CCTV) di kedainya menerusi telefon bimbit dan mendapati CCTV tidak berfungsi dipercayai wayarnya sudah dipotong.

"Anggota kemudiannya masuk ke dalam kedai berkenaan dan mendapati seorang suspek berlari ke bahagian atas bumbung kedai berkenaan.

"Pemeriksaan kemudiannya menemui tiga suspek yang memakai topeng serta sarung tangan dan bersembunyi di atas bumbung kedai itu," katanya ketika dihubungi NSTP.

Mohd Ali berkata, Unit Peronda Polis (MPV) yang tiba kemudiannya mendapati terdapat Proton Wira berada tidak kurang 30 meter dari lokasi kedai emas itu dan menahan seorang lelaki yang berada dalam kenderaan berkenaan.

Katanya, lelaki berkenan dipercayai sedang menunggu ketiga-tiga rakannya itu yang memecah masuk kedai berkenaan.

"Turut ditemui Toyota Avanza yang ditinggalkan seorang lagi suspek yang kini sedang diburu dan polis merampas peralatan digunakan untuk memecahkan kedai berkenaan.

"Polis turut mendapati terdapat kesan tebukan di dinding menghubungkan kedai emas itu dengan kedai bersebelahan dipercayai dilakukan kesemua suspek berkenaan" katanya.

Difahamkan, polis turut mendapatkan bantuan dari bomba untuk menurunkan ketiga-tiga suspek yang bersembunyi di atas bumbung berkenaan menggunakan tangga.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Februari 2018 @ 10:49 AM