AFP

Madrid: Cristiano Ronaldo meledak hatrik ke-29 sepanjang aksinya di La Liga Sepanyol ketika Real Madrid yang dibimbing Zinedine Zidane merapatkan kedudukan kepada empat mata di belakang pendahulu Barcelona menerusi kemenangan besar 6-0 ke atas Espanyol, awal pagi semalam.

Pada perlawanan lain, masalah Gary Neville di La Liga sejak mengambil alih Valencia tampak berterusan berikutan kekalahan 0-1 di tangan Sporting Gijon, kekalahan pertama Los Che di tempat sendiri sejak November 2014.

Dalam usaha mengekalkan kecemerlangan di bawah kendalian pengurus baru, Zidane di Santiago Bernabeu, Madrid mendahului 4-0 pada babak pertama menerusi jaringan Karim Benzema dan James Rodriguez serta dua gol Ronaldo.

Pemain Terbaik Dunia tiga kali itu mengesahkan hatrik terbarunya ketika permainan berbaki sembilan minit dan jaringan sendiri Oscar Duarte memastikan kemenangan besar Real.

“Kami perlu bekerja keras sebagai pasukan dan kami kini sudah berfikiran positif,” kata Ronaldo mengenai impak Zidane.

“Pramusim kami tidak begitu baik kerana kami banyak berjalan. Zizou tiba dengan idea berbeza dan kami perlu meneruskan persembahan seperti ini.”

Kemenangan itu turut merapatkan kedudukan Real dengan Atletico Madrid selepas pasukan itu tewas 1-2 di tangan Barca, kelmarin.

Begitupun, Barcelona masih bermain kurang satu perlawanan berbanding dua kelab Madrid itu.

“Sasaran kami adalah untuk melakukan yang terbaik dalam semua perlawanan dan menghampiri hujung musim dengan peluang untuk memenangi liga,” kata Zidane.

“Jangkaan saya terhadap liga tetap tinggi, ia belum lagi berakhir.”

Real kini menghasilkan 41 gol sepanjang tujuh perlawanan di tempat sendiri sejak tumpas 0-4 kepada Barcelona, November lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Februari 2016 @ 6:57 AM