Pegawai penyiasat Polis Trafik Terengganu memeriksa keadaan kenderaan. FOTO Rosli Ilham
Pegawai penyiasat Polis Trafik Terengganu memeriksa keadaan kenderaan. FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham


Dungun: Lelaki maut manakala anak lelakinya parah apabila kereta yang mereka naiki kemalangan di Kilometer 347, Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2), selepas susur keluar Kuala Dungun, pada 2.30 pagi ini.

Jasni Mohamed, 40, meninggal dunia manakala anaknya, Afiq Haikal, 10, yang parah di kepala kini dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.

Isteri arwah, Rosmawati Deraman, 35, dan tiga lagi anaknya, Aidil Hakimi Jasni, 14; Nuraina Hazwani Jasni, 7, dan Aqil Hazwan Jasni, 10 bulan, cedera dan dirawat di Hospital Dungun.

Kejadian dipercayai berlaku apabila Proton Perdana V6 dipandu arwah Jasni dari arah Kuala Terengganu ke Kuantan dipercayai terbabas dan merempuh besi penghadang jalan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Dungun, Amri Mohamad, berkata sepasukan enam anggota mengambil masa kira-kira 15 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.

"Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 April 2017 @ 9:08 AM