KEADAAN kereta yang melanggar penghadang lebuh raya.
KEADAAN kereta yang melanggar penghadang lebuh raya.
Rosli Ilham

Kemaman: Kerajaan negeri akan menggantikan penghadang besi lebuh raya sedia ada kepada jenis yang lebih selamat bagi mengurangkan risiko lebih ramai pengguna Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) yang terbabit kemalangan parah atau terkorban.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Tenaga dan Teknologi Hijau negeri Rosli Othman berkata, pihaknya sedang mencari penghadang yang lebih mesra kenderaan bagi mengelak kenderaan tercampak, sekali gus mampu menyelamatkan nyawa.

Menurut beliau, pihaknya sudah meminta Jabatan Kerja Raya (JKR), Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) dan kementerian berkaitan untuk menyelesaikan perkara itu, terutama di kawasan yang dikenal pasti sering berlaku kemalangan.

“Agensi berkaitan akan melihat perkara itu dan seterusnya, penghadang yang lebih mesra pengguna akan diguna pakai selepas ini,” katanya ketika mengulas mengenai penambahbaikan tahap keselamatan di LPT2 yang sering berlaku kemalangan maut sebelum ini.

Sepanjang tempoh dua minggu ini, empat pengguna terkorban, dua kritikal dan tiga parah dalam kemalangan di LPT2 di Dungun dan Kemaman.

Kematian serta kecederaan terbabit direkodkan selepas kenderaan dinaiki merempuh besi penghadang lebuh raya.

Berdasarkan kes dilaporkan, pada 15 April lalu, anggota polis, Mohd Rafshan Jani Mohmad Rafdzi, 33, meninggal dunia di Kilometer 339.6, dekat Paka selepas Honda FD dipandu merempuh besi penghadang lebuh raya, jam 2.30 petang.

Lapan hari kemudian, Fatimah Al Zahrah Zainol Abidin, 32, dan anak bongsunya, Al Fateh Mohd Shahrulnizam meninggal dunia di Kilometer 264.1, dekat Perasing, Kemaman, jam 1.15 petang, juga selepas merempuh penghadang lebuh raya.

Seorang lagi anaknya, Al Faris, 6, cedera parah manakala suaminya, Mohd Shahrulnizam Alias, 32, cedera.

Sehari kemudian, suami isteri, Tengku Hanafi Tengku Hassan dan Rosmah Ibrahim, 44, kritikal selepas Honda Jazz dinaiki terbabit kemalangan di Kilometer 253.5, dekat Cheneh, jam 7 pagi.

Anak mereka, Tengku Amirul Tengku Hanafi, 21, yang memandu kereta dan isterinya, Fatin Fatihah Hamzah, 21, parah manakala dua adiknya, Puteri Arisa, 5, dan Tengku Putera Airil Sharizat, 3, cedera.

Pada 26 April pula, pemandu lori, Jasni Mohamed, 40, meninggal dunia manakala isterinya, Rosmawati Deraman, 35, dan anak mereka, Afiq Haikal, 10, cedera parah di kepala serta tangan.

Pada kemalangan jam 2.30 pagi itu, Jasni yang tinggal di Taman Inderapura, Kuantan, Pahang meninggal dunia selepas Proton Perdana V6 dipandunya terbabas sebelum merempuh besi penghadang lebuh raya di Kilometer 347, dekat Dungun.

Tiga lagi anak mereka, Aqil Hazwan, 10 bulan, Aidil Hakimi Jasni, 14, dan Nuraina Hazwani, 7, selamat.

Rosli berkata, pihaknya bersama pemegang konsesi LPT2, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) sudah mengadakan mesyuarat mengenai isu keselamatan di sepanjang lebuh raya berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Mei 2017 @ 6:11 AM