Rosli Ilham

Dungun: "Dia anak yang baik. Dia tidak mahu saya terkejut dengar berita cucu yang disangka meninggal dunia, sebab itu dia bergegas pulang.

"Tapi saya tidak sangka kejadian ini pula menimpanya," kata Mat Nawi Omar, 70, mengenai anaknya, Mohamad Rizuwan yang maut dalam kemalangan di Kilometer 372.1, Lebuhraya Pantai Timur Dua (LPT2), dekat Hentian Rawat & Rehat (R&R) Bukit Besi, semalam.

Dalam kejadian 4.30 petang itu, Mohamad Rizuwan yang menunggang motosikal berkuasa tinggi terkorban ketika bergegas pulang ke rumahnya untuk memaklumkan kematian anak saudara yang juga cucu Mat Nawi.

Bagaimanapun, Mohamad Rizuwan tidak tahu yang anak saudaranya, Mohd Adam Haris Mohd Azam,11 sebenarnya masih hidup dan dia juga tidak menjawab panggilan telefon ketika saudara menghubunginya untuk memaklumkan perkembangan terkini itu.

Mat Nawi berkata, arwah anaknya yang masih bujang dan tinggal di Bukit Bading Ajil, Hulu Terengganu, mengetahui kematian Mohd Adam yang dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah HSNZ Kuala Terengganu.

MOTOSIKAL Mohamad Rizuwan hilang kawalan menyebabkan terbabas di Kilometer 372.1 Lebuhraya Pantai Timur 2.
MOTOSIKAL Mohamad Rizuwan hilang kawalan menyebabkan terbabas di Kilometer 372.1 Lebuhraya Pantai Timur 2.

"Cucu saya sakit, bila dia (Rizuwan) terima berita itu, dia bergegas pulang untuk memaklumkan kejadian itu kepada saya. Dia tidak mahu beritahu melalui telefon mungkin takut saya terkejut mendengar berita itu.

"Saya tahu kejadian menimpanya daripada seorang lagi anak kira-kira 5 petang. Memang terkejut dan saya segera ke Hospital Dungun tetapi arwah sudah meninggal," katanya yang memberitahu arwah anak ketiga daripada enam beradik dan kerap berulang alik menguruskan ladangnya di Felda Kerteh 6.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Maizura Abdul Kadir berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila mangsa hilang kawalan ketika menghala ke arah Dungun, menyebabkannya terbabas ke lorong kanan dan merempuh besi pembahagi lebuh raya.

Katanya, mangsa tercampak dan terseret kira-kira 50 meter serta mengalami kecederaan parah.

"Mayat dibawa ke Hospital Dungun dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Oktober 2023 @ 8:59 AM