TERTUDUH (kanan) di Mahkamah Tinggi Kangar. FOTO Eizairi Shamsudin
TERTUDUH (kanan) di Mahkamah Tinggi Kangar. FOTO Eizairi Shamsudin
Aizat Sharif


Kangar: Seorang buruh dihadapkan ke Mahkamah Tinggi di sini, pagi tadi atas pertuduhan mengedar dan memiliki dadah di Simpang Empat, Kangar, tahun lalu.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh, Ong Chin Peng, 37, didakwa mengedar 14.1 gram (g) dadah jenis heroin dan 3.5 g dadah jenis monoacetylmorphine di rumah tidak bernombor di Kilometer 10, Batas Lintang, Simpang Empat pada 9 pagi 1 Oktober tahun lalu.

Bagi pertuduhan kedua pula, dia didakwa memiliki 4.22 g dadah jenis methamphetamine di tempat dan waktu yang sama.

Bagi kesalahan pertama, tertuduh berdepan hukuman gantung mandatori di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum dibawah Seksyen 39B (2) akta yang sama.

Manakala bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 12 (3) Akta yang sama dan penjara tidak lebih daripada lima tahun dan didenda tidak lebih dari RM100,000 atau kedua-duanya.

Tertuduh mengangguk faham dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan kepadanya dalam bahasa Mandarin di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Abu Bakar Katar.

Mahkamah menetapkan 29 April hadapan sebagai tarikh sebutan semula kes dan tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Nisla Abd Latif manakala tertuduh diwakili oleh S Ravi.

Bagaimanapun, peguambela yang mewakili tertuduh itu tidak hadir ke mahkamah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 April 2016 @ 11:47 AM