Dazma Shah (berbaju putih) membaca catatan Allahyarham Mohamad Thaqif. FOTO ihsan Dazma Shah Daud
Dazma Shah (berbaju putih) membaca catatan Allahyarham Mohamad Thaqif. FOTO ihsan Dazma Shah Daud
Nurul Huda Kosnon


Kuala Lumpur: “Saya mahu jadi huffaz (hafiz) dalam masa dua tahun. Saya pasti saya boleh. Kau boleh Thaqif.” Itu antara catatan Allahyarham Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi, 11, yang ditulis dan dilekatkan dalam al-Quran miliknya dipercayai ketika mula mendaftar di sebuah madrasah di Kota Tinggi, Johor, Januari lalu.

Catatan itu ditemui bapanya, Mohd Gaddafi Mat Karim, 43, sebelum menyerahkan kepada Exco Pemuda UMNO Malaysia, Dazma Shah Daud yang menziarahi Allahyarham di Hospital Sultan Ismail (HSI), 1 tengah hari semalam.

Dazma Shah berkata, Allahyarham turut menulis panduan untuk menjadi seorang hafiz.

"Dengar cakap ibu bapa, jaga solat lima waktu dan menghafal surah yang senang dulu.

“Selain itu Allahyarham mencatatkan satu hadith mengenai niat menuntut ilmu perlu semata-mata kerana mencari keredhaan Allah bukan maksud lain,” katanya.

Dia berkata, semasa berkesempatan menziarahi Allahyarham semalam, dia sebak melihat keadaan kanak-kanak itu terutama pada bahagian kaki selain hujung jari yang kering serta badan agak panas ketika itu.

"Saya hanya berdoa semoga Allahyarham segera sembuh. Apatah lagi ketika itu saya turut dimaklumkan pihak hospital akan memotong tangannya.

"Namun Allah lebih sayangkannya. Semoga Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman," katanya.

Dazma Shah berkata, dia memang rapat dengan bapa Allahyarham sejak 20 tahun lalu.

"Saya ada menasihatkan bapa Allahyarham supaya menyerahkan segala urusan terutama berhubung insiden yang menimpa anaknya kepada pihak berkuasa," katanya.

Mohamad Thaqif meninggal dunia kira-kira 2 petang hari ini akibat jangkitan kuman.

Allahyarham dimasukkan ke HSI seminggu lalu susulan dia dilapor disebat oleh pembantu warden asrama madrasah.

Kedua belah kakinya sebelum ini turut dipotong bagi mengelak jangkitan kuman pada bahagian lain tubuhnya.

Allahyarham sebelum ini pernah meluahkan perasaan dan doa dalam buku latihan supaya dipindahkan daripada asrama itu.

Allahyarham turut berdoa supaya ibu dan bapanya memindahkan dia ke sekolah lain kerana berasakan tidak selesa lagi di madrasah itu.

Perkara itu hanya diketahui keluarga selepas membelek buku latihan yang dibawa pulang apabila berhenti dari sekolah tahfiz itu.

Berita berkaitan:

Rahsia buku latihan Thaqif

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 April 2017 @ 10:04 PM