Rudy Fazrunisyam Samarudin

Johor Bahru: Kerajaan negeri Johor mengucapkan takziah kepada keluarga murid tahfiz, Mohamad Thaqif Amin Mohd Ghaddafi, 11, yang meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail (HSI), hari ini.

Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Datuk Ayub Rahmat berkata, kerajaan negeri melalui Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) sudah memberikan sumbangan sewajarnya bagi membantu keluarga berkenaan menghadapi detik sukar ini.

"Saya bagi pihak kerajaan negeri dan seluruh Bangsa Johor berdukacita atas pemergian 'imam cilik' ini.

"Takziah kepada ibu bapa dan keluarga. Hasrat dan impiannya menjadikan al-Quran sebagai budaya hidup seharian amatlah terpuji dan kita berdoa semoga Allah SWT menempatkan rohnya dalam kalangan insan yang bertaqwa dan beriman," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad Thaqif sepatutnya menjalani pembedahan tangan kanannya pagi tadi namun ditangguh kerana keadaan jantungnya lemah.

Arwah pada mulanya dimasukkan ke HSI seminggu lalu susulan dia dilapor disebat oleh pembantu warden asrama madrasah.

Kedua belah kakinya sebelum ini turut dipotong bagi mengelak jangkitan kuman pada bahagian lain tubuhnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 April 2017 @ 3:54 PM