GAMBAR fail,  seorang wanita menangis ketika menanti giliran untuk memberi penghormatan terakhir kepada Bhumibol di Bangkok, bulan lalu.  - Agensi
GAMBAR fail, seorang wanita menangis ketika menanti giliran untuk memberi penghormatan terakhir kepada Bhumibol di Bangkok, bulan lalu. - Agensi

Bangkok: Thailand akan mula membina pancaka, tempat membakar mayat untuk Raja Bhumibol Adulyadej yang mangkat bulan lalu pada usia 88 tahun, tahun depan.

Timbalan Perdana Menteri Thanasak Patimparakorn berkata, kira-kira 8,000 orang akan terbabit dalam upacara pembakaran itu.

Bhumibol yang memerintah negeri Thai selama lebih tujuh dekad dianggap kebanyakan rakyat negara itu sebagai sumber penstabilan ketika negara itu mengharungi arus pemodenan dan kekacauan sosial.

Upacara keagamaan harian diadakan untuk raja itu di Istana Besar di Bangkok, tetapi majlis pembakaran diraja hanya dilakukan sekurang-kurangnya setahun selepas kematiannya.

Menurut Thanasak, sebuah jawatankuasa sudah dibentuk untuk menyelia pembinaan pancaka itu di dataran awam di hadapan istana berkenaan.

“Pembinaan dijangka siap sebelum September tahun depan. Bagaimanapun, ia bergantung kepada cuaca. Kira-kira 8,000 orang akan mengambil bahagian dalam upacara pembakaran itu,” katanya kepada wartawan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 November 2016 @ 9:02 AM