POLIS dan pengawal memeriksa bilik kebal yang diletupkan dan turut memusnahkan bangunan Prosegur di Ciudad del Este, Paraguay. - AP
POLIS dan pengawal memeriksa bilik kebal yang diletupkan dan turut memusnahkan bangunan Prosegur di Ciudad del Este, Paraguay. - AP
AFP

Asuncion (Paraguay): Puluhan penyangak disyaki gangster Brazil memecah masuk ke dalam bilik kebal mengandungi jutaan dolar di tenggara Paraguay dalam kejadian digelar pihak berkuasa sebagai ‘rompakan abad ini’ yang melihat seorang polis ditembak mati.

Kira-kira 50 lelaki bersenjatakan bahan letupan dan senjata gred tentera meninggalkan bandar Ciudad del Este dalam keadaan tidak ubah seperti zon perang selepas serangan dua jam terhadap syarikat keselamatan dan ibu pejabat polis, kata pihak berkuasa dan saksi.

Operasi bersama polis Paraguay serta Brazil yang dilancarkan serta-merta untuk memburu perompak berkenaan menyebabkan tiga suspek terbunuh manakala empat lagi ditangkap, kata menteri dalam negeri Paraguay di Twitter.

Tweet itu turut menunjukkan gambar seorang anggota polis berdiri di sebelah mayat berdarah seorang lelaki berpakaian celoreng selain beberapa imej kereta dipercayai digunakan suspek untuk melarikan diri serta senjata mereka.

Pihak berkuasa Brazil mengesahkan pertempuran berlaku tetapi tidak mendedahkan butiran lanjut.

Sumber polis persekutuan Parana berkata: “Memang ada tembak-menembak. Ada yang mati dan cedera, tetapi kami tidak akan mendedahkan maklumat lanjut kerana masih memburu suspek.”

Presiden Brazil Michel Temer berjanji akan memberi sokongan penuh untuk polis Paraguay.

Sementara itu pihak berkuasa Paraguay terkejut dengan serangan berkenaan kerana tidak pernah berlaku di negara itu, terutama Ciudad del Este, hab perdagangan utama berhampiran sempadan Brazil serta Argentina yang turut dikaitkan dengan aktiviti geng dadah.

Syarikat disasarkan dalam kejadian itu, Prosegur, mengkhususkan dalam penghantaran wang. Perompak terbabit menyebabkan pelbagai gangguan di sekitar bandar itu termasuk membakar kenderaan dan melepaskan letupan berhampiran ibu pejabat polis untuk menyukarkan penangkapan mereka.

Saksi, Antonio del Puerto berkata: “Bunyi letupan didengar di sekitar bandar, tidak ubah seperti keadaan perang.”

Gambar disiarkan di televisyen menunjukkan bangunan Prosegur musnah hampir sepenuhnya manakala jalan raya dipenuhi kereta rentung.

Menurut laporan polis, penyerang terbabit termasuk anggota kumpulan First Capital Command, antara geng dadah paling digeruni di Brazil.

Pendakwa Denise Duarte berkata, lelaki berkenaan yang bertopeng bercakap Portugis, bahasa rasmi Brazil.

Jumlah kerugian tidak jelas, tetapi bilik kebal berkenaan dilaporkan penuh ketika kejadian dan menurut polis ia mampu mengisi wang sehingga AS$40 juta (RM1.7 bilion).

Sementara itu, ketua polis Paraguay Luis Rojas tidak menolak penyerang terbabit berkemungkinan mendapat bantuan anggota polis sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 April 2017 @ 9:14 AM