Idris Musa


Kuala Lumpur : Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan keluarga mengajak semua umat Islam di negara ini bersama-sama menjadikan peristiwa Israk dan Mikraj sebagai iktibar bersama.

Menurutnya, peristiwa Israk dan Mikraj mampu mengeratkan hubungan silaturahim antara umat Islam khususnya dan sesama manusia amnya kerana ia menggambarkan betapa besar dan pentingnya penyempurnaan akhlak dalam hidup.

Katanya, Rasullullah SAW sebagai model pembinaan akhlak yang mulia dan luhur berjaya menyampaikan misi dakwah dan seterusnya menyatukan manusia secara meluas dan berkesan.

“Kalau sebelumnya pelbagai etnik di Semenanjung Arab lebih terarah kepada ‘kekabilahan’, maka dengan kehadiran Islam dan kepimpinan Rasullullah SAW, seluruh tembok ‘perpecahan’ dan ‘perkauman’ berjaya diruntuhkan.

“Beriltizamkan itu juga, maka Malaysia mengambil pendekatan dengan sentiasa meraikan kepelbagaian kerana kepelbagaian itulah yang menjadi teras kekuatan masyarakat dan negara.

“Apa yang perlu dikembang dan diperkasakan ialah bagaimana menjadikan kepelbagaian itu sebagai teras dalam perpaduan ummah dan pembinaan negara bangsa dan setiapnya wajib dihormati sebagaimana kita memerlukan penghormatan daripada orang lain,” katanya dalam perutusan sempena Israk dan Mikraj 27 Rejab 1438H menerusi catatan di blog najibrazak.com semalam.

Najib berkata, dengan mengambil beberapa peristiwa dan pergolakan yang berlaku di luar negara, Malaysia bukan saja dilihat sebagai sebuah negara yang ‘aman, harmoni dan berdaya saing’ bahkan semakin mencipta pencapaian besar dalam pelbagai bidang termasuk kestabilan politik, pengurusan ekonomi yang cekap, pusat pelaburan asing dan pembangunan modal insan.

Katanya, semuanya itu menggambarkan usaha dan keringat perjuangan besar pemimpin dengan sokongan rakyat yang setia manakala mereka yang berasa ‘curiga’ dan ‘sangsi’ akhirnya akan berasa aib sendiri kerana yang dikendung berciciran dan yang dikejar semakin jauh.

“Inilah sesuatu yang wajib kita pelajari dan ingati berdasarkan apa yang boleh difahami daripada peristiwa Israk dan Mikraj dalam konteks ‘keintelektualan manusia’ sebagaimana dijelaskan.

“Semoga dengan penghayatan kita kepada peristiwa hebat ini menjadikan hari esok kita lebih baik daripada hari ini. Insya-Allah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 April 2017 @ 9:29 PM