Ahmad Salim Bachok

Mempunyai bentuk tubuh yang sasa, tegap dan berotot pejal adalah idaman bagi setiap lelaki. Ia juga menunjukkan seseorang itu berbadan sihat, pastinya mengamalkan gaya hidup sihat kerana sering bersenam dan makan makanan yang berzat untuk kesihatan tubuh.

Pada zaman dahulu kala, negara atau negeri yang ramai rakyatnya bertubuh gemuk-gedempol akan mendapat puji-pujian sebagai negeri yang makmur dan penduduknya cukup makan minum. Tetapi kini tanggapan ini berubah.

Mungkin kini tiada sesiapa pun di muka bumi ini yang ingin digelar atau dipanggil Si Gemuk, Abang Tembam, Si Gedempol atau Mat Obes, walaupun pada hakikatnya yang digelar itu memang berbadan besar, gemuk atau obes.

Gemuk berlebihan atau obes adalah penyakit yang melanda banyak negara di dunia, terutama negara maju dan makmur. Malaysia tidak terkecuali dalam masalah ini, malah dari segi statistik, negara kita antara negara tertinggi di dunia yang dihuni oleh manusia obes, iaitu di tangga keenam di Asia-Pasifik dan juara di antara negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) yang mempunyai penduduk paling ramai obes dan menghidap kencing manis.

Malah Kementerian Kesihatan pernah mengeluarkan sebuah iklan di akhbar beberapa ketika dulu menyatakan bahawa dua daripada setiap lima penduduknya adalah obes atau gemuk melampau.

Apakah makna obesiti atau gemuk melampau? Obesiti adalah lebihan lemak di dalam badan yang boleh menyebabkan masalah kesihatan serius kepada penghidapnya. BMI atau pengiraan Indeks Jisim Tubuh adalah kaedah yang digunakan untuk mendapatkan data asas tahap kegemukan atau obesiti seseorang.

Satu fakta penting mengenai obesiti, ia adalah penyakit kronik yang boleh menyebabkan pelbagai penyakit yang boleh membawa maut seperti diabetes, darah tinggi, sakit jantung, kegagalan sistem perkumuhan, menjejaskan sistem pernafasan, kanser dan pelbagai lagi penyakit lain.

Obesiti kini menjadi masalah kesihatan serius kepada Malaysia. Menurut Menteri Kesihatan baru-baru ini, setakat ini 8.5 juta penduduk Malaysia mengalami masalah berat badan berlebihan dengan 4.4 juta daripada mereka adalah obes atau berat berlebihan yang melampau.

Menurut menteri itu, sebab utama masalah ini berlaku adalah kerana pengambilan makanan yang terlalu berlebihan. Ia turut diburukkan lagi oleh kecenderungan kepada makanan manis sejak usia muda lagi. Beliau turut meramalkan jumlah rakyat Malaysia yang gemuk melampau akan terus meningkat jika tiada usaha bersungguh-sungguh dilakukan masyarakat untuk mengurangkan berat badan dan mengamalkan gaya hidup sihat.

Malah satu laporan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang mengatakan bahawa 73 peratus daripada pencarum Perkeso yang menjalani saringan kesihatan mempunyai masalah berat badan (obes), kadar kolesterol tinggi (62 peratus) dan darah tinggi (27 peratus) benar-benar amat membimbangkan.

Berdasarkan statistik mengejutkan ini menunjukkan betapa kurangnya kesedaran dalam kalangan pekerja kita terhadap masalah kesihatan mereka. Menurut Timbalan Menteri Sumber Manusia yang mendedahkan laporan berkenaan, kesedaran terhadap penjagaan kesihatan amat penting bagi memastikan pekerja kekal sihat untuk bekerja dan menyumbang terhadap kesejahteraan keluarga serta kemakmuran negara.

Sememangnya penyumbang utama kepada masalah ini adalah faktor pemakanan dan kegilaan penduduk Malaysia terhadap gula. Negara kita memang terkenal dengan pelbagai makanan enak, baik makanan tempatan mahupun yang dibawa atau diimport dari negara asing.

Makanan yang terhidang di restoran lima bintang, restoran mamak, gerai nasi campur atau gerai tomyam mahupun yang dimasak oleh ibu atau isteri di rumah kebanyakannya melimpah ruah dengan minyak, santan kelapa, kari dan segala macam perencah serta perisa yang membuatkan kita tambah berselera dan terasa sukar hendak meninggalkan meja makan.

Budaya makan rakyat Malaysia yang kini berubah berbanding beberapa dekad lalu mungkin turut menjadi punca kepada masalah obes ini. Jika 20 atau 30 tahun lalu kita tidak mempunyai banyak pilihan dalam isu pemakanan, di mana generasi ketika itu lebih banyak memakan nasi bersama lauk-pauk asas seperti ikan, telur, daging dan banyak mengambil ulam-ulaman seperti petai dan jering, generasi kini jauh berbeza pola pemakanan mereka.

Anak-anak muda kini semakin kurang mengenal ulam, sebaliknya lebih memuja makanan segera seperti ayam goreng, piza, burger dan segala macam menu makanan lain dari pelbagai pelosok dunia yang lebih berminyak, lebih garam, lebih manis dan lebih mahal.

Terkini, gaya makan ‘food truck’ adalah pilihan golongan pekerja, terutama bagi anak-anak muda. Hidangan gerai beroda atau trak makanan yang kebanyakannya berbentuk goreng dan panggang ini adalah satu fenomena baru menjamu selera yang mungkin bakal membentuk budaya pergaulan dan tahap kesihatan anak-anak muda, terutama yang bekerja di bandar-bandar besar.

Mungkin pihak berwajib, terutamanya Kementerian Kesihatan, boleh membuat kajian dan pemantauan terhadap budaya makan trak makanan ini, sama ada ia adalah sesuatu yang baik dan positif terhadap mutu kesihatan pengunjungnya atau ia mungkin menjadi penyebab kepada bakal meningkatnya jumlah rakyat yang menghidap obesiti, diabetes atau sakit jantung kelak.

Penulis Timbalan Pengarang Kumpulan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 April 2017 @ 6:43 AM