KUALA LUMPUR: Bekalan elektrik di tiga negeri yang dilanda banjir hampir pulih seperti sedia kala setakat 12 tengah hari ini.

Pengurus Besar Kanan (Operasi - Wilayah 2) Bahagian Pembahagian TNB Abdul Aziz Abdul Majid berkata, lebih 96 peratus pengguna yang terlibat dengan banjir di Kelantan telah mendapat semula bekalan elektrik.

"Kawasan-kawasan yang telah dipulihkan bekalan elektrik seperti sedia kala termasuk Machang, Bachok, Tumpat, Tanah Merah, Pasir Mas, Pasir Putih dan Kota Baharu," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau berkata, 1,897 pencawang elektrik telah dipulihkan berbanding 1,960 pencawang yang terpaksa dipotong bekalan elektrik ketika banjir di negeri itu.

Sementara itu, lebih 91 peratus pengguna TNB yang terlibat dengan banjir di Pahang turut mendapat bekalan elektrik, dengan Kuantan dan Kuala Lipis mendapat bekalan sepenuhnya, katanya.

Abdul Aziz berkata, hanya 49 pencawang elektrik di Pahang masih belum dipulihkan berbanding 585 pencawang yang dipotong bekalan ketika banjir.

Sementara di Perak, lebih 88 peratus pengguna di negeri itu telah memperoleh bekalan elektrik, dengan 10 daripada 88 pencawang elektrik yang dipotong masih belum dipulihkan, katanya.

"TNB menasihatkan mangsa banjir yang kembali ke premis masing-masing supaya memastikan pendawaian dan semua peralatan elektrik mereka adalah selamat untuk digunakan. Kemungkinan besar pendawaian dan peralatan elektrik yang ditenggelami banjir telah terjejas dan perlu dibersihkan serta diperiksa terlebih dahulu untuk mengelak kejadian tidak diingini," katanya.

Justeru, beliau menasihatkan pengguna supaya menggunakan khidmat kontraktor elektrik yang berdaftar dengan Suruhanjaya Tenaga bagi memeriksa terlebih dahulu pendawaian dan semua peralatan elektrik.

Katanya, pengguna juga dinasihatkan supaya tidak menghampiri kawasan berair jika terdapat talian elektrik yang terputus dan terjatuh ke dalam kawasan tersebut. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 January 2015 @ 8:56 PM