BERNAMA

Kuala Lumpur: Operasi 50 pencawang elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) di kawasan dilanda banjir di Pahang dan Johor dihentikan mulai 12 tengah hari, hari ini.

Pengurus Besar Kanan (Rangkaian Pengedaran) TNB Wan Nazmy Wan Mahmood berkata, jumlah itu membabitkan 44 pencawang elektrik di Pahang dan enam di beberapa kawasan di Johor.

Beliau berkata pemberhentian sementara operasi pencawang berkenaan menjejaskan 3,307 pengguna di Pahang dan 328 lagi di Johor.

"Tindakan itu diambil bagi mengelak litar pintas dan penyambungan semula bekalan elektrik akan dibuat dengan kadar segera sebaik ia selamat dilakukan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Bagaimanapun, ia tidak menyatakan sama ada pemberhentian operasi pencawang itu menjejaskan bekalan elektrik kepada pengguna atau tidak.

Sementara itu, operasi bagi 18 pencawang elektrik di Pahang dan tiga di Johor sudha pulih dan beroperasi seperti sedia kala.

TNB turut membuka bilik gerakan banjir di kedua-dua negeri itu bagi memantau keadaan dan menyalurkan maklumat terkini mengenai bekalan elektrik.

Orang ramai boleh menghubungi talian TNB Careline di 15454 bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai perkhidmatan dan bekalan elektrik.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 January 2017 @ 7:45 PM