GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Togi Marzuki


Pontian: Lelaki cedera di kepala, manakala dua ahli keluarganya diikat selepas lima individu merompak rumah mereka di Kampung Simpang Kiri Kukup di sini, hari ini.

Dalam kejadian 6.40 pagi itu, suspek sempat melarikan wang tunai, barang kemas, telefon bimbit dan kereta Perodua Kenari berwarna hitam milik mangsa.

Ketua Polis Daerah Pontian Superintendan Mohammad Shofee Tayib berkata, mangsa berusia 44 tahun berada di luar rumah apabila didatangi seorang daripada suspek bersenjatakan parang.

"Suspek menolak mangsa hingga jatuh dan pada masa sama empat lagi rakannya meluru masuk ke dalam rumah dan mengikat dua lagi ahli keluarga mangsa.

"Mangsa mengalami kecederaan di kepala dan pelbagai barangan berharga dilarikan suspek," katanya hari ini.

Beliau berkata, usaha memburu suspek giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Sekyen 394/379A Kanun Keseksaan

Mohammad Shofee turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian untuk menghubungi IPD Pontian di talian 07-6871222.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Jun 2023 @ 11:07 PM