ANDERSON (tengah) diasak pertahanan Sampdoria.
ANDERSON (tengah) diasak pertahanan Sampdoria.

Rome: Felipe Anderson meledak satu gol selain membantu menghasilkan dua lagi jaringan ketika Lazio menewaskan Sampdoria 3-0 kelmarin, sekali gus menduduki tangga ketiga Serie A yang juga slot terakhir ke Liga Juara-Juara.

Lazio kini mengatasi Sampdoria dan Napoli dengan kelebihan tiga mata di tangga ketiga.

Pada aksi pertama liga Itali selepas cuti Krismas, Anderson, 21, menghasilkan hantaran lintang dari sebelah kiri untuk membolehkan Marco Parolo menjaringkan gol pada minit ke-38.

Tiga minit kemudian, Anderson menjaringkan gol menerusi rembatan lencong yang rendah di luar kotak penalti.

Aksi Anderson lebih memukau di babak kedua ketika pemain Brazil itu menggelecek tiga pertahanan lawan sebelum membuat hantaran lintang yang disempurnakan Filip Djordjevic pada minit ke-66.

Anderson membantu sembilan jaringan Lazio di sepanjang lapan aksi terakhir. Dia juga menjaringkan dua gol ketika pasukannya seri 2-2 di Inter Milan sebelum liga berhenti rehat.

“Tahun ini saya lebih sihat dan dengan sokongan rakan sepasukan, jurulatih serta keluarga, saya mampu mempersembahkan bakat sebenar saya,” kata Anderson yang menyertai Lazio dari Santos.

Ia adalah kekalahan kedua Sampdoria musim ini dan mereka hanya menghasilkan dua percubaan di Stadio Olimpico.

“Felipe Anderson tidak ubah seperti Cristiano Ronaldo,” kata jurulatih Sampdoria Sinisa Mihajlovic. “Mereka beraksi lebih baik berbanding kami.

“Begitupun, adalah lebih baik kami tewas di tangan Lazio berbanding pasukan lain,” tambah Mihajlovic. - AP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 January 2015 @ 5:45 AM