WAN Ahmad bersalaman dengan pemain pasukan Bukit Aman ketika Kejohanan Hoki Piala Ketua Polis Negara 2017. FOTO Hairul Anuar RahimHAIRUL ANUAR RAHIM
WAN Ahmad bersalaman dengan pemain pasukan Bukit Aman ketika Kejohanan Hoki Piala Ketua Polis Negara 2017. FOTO Hairul Anuar RahimHAIRUL ANUAR RAHIM
Mohd Sabran Md Sani


Johor Bahru: Polis Johor Bahru Selatan (JBS) mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian bas pasukan Melaka United (MU) diconteng cat merah di perkarangan hotel di bandar raya ini, hari ini.

Ketua Polis Daerah JBS, Asisten Komisioner Sulaiman Salleh berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada pengawal keselamatan di Balai Polis Sentral pada 5.25 pagi tadi.

"Dalam kejadian 1.30 pagi itu, bas milik Persatuan Bola Sepak Melaka United (MU) yang digunakan pasukan berkenaan diconteng individu tidak bertanggungjawab menggunakan cat merah.

"Bas itu diletakkan di perkarangan hotel bersebelahan Jalan Abdullah Ibrahim dan kejadian berkenaan disedari pemandu bas," katanya.

Beliau berkata demikian selepas hadir pada Kejohanan Hoki 11 Sebelah Piala Ketua Polis Negara 2017 di Stadium Hoki Taman Daya di sini, hari ini.

Pertandingan itu dijuarai pasukan Bukit Aman selepas menewaskan Selangor dengan jaringan 7-3.

Mengulas lanjut mengenai kejadian itu, Sulaiman berkata, pihaknya sedang mengesan suspek kes itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan bencana.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 April 2017 @ 8:19 PM