AMRAN (tengah) menunjukkan bungkusan dadah syabu yang dirampas dalam operasi pihaknya.
AMRAN (tengah) menunjukkan bungkusan dadah syabu yang dirampas dalam operasi pihaknya.
Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque


Shah Alam: Dua sindiket pengedaran dadah syabu di Selangor tumpas susulan penahanan tujuh lelaki dalam dua serbuan di Sunway Batu Caves dan Mutiara Damansara, pada Isnin lalu dan kelmarin.

Operasi khas dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor itu berjaya merampas dadah seberat 5.5 kilogram (kg) dianggarkan bernilai RM450,000.

Ketua JSJN Selangor Asisten Komisioner Amran Ramli berkata, dalam serbuan pertama, empat lelaki berusia 27 hingga 40 tahun ditahan di kawasan tempat letak kereta di kawasan komersial di Sunway Batu Caves jam 4 petang Isnin lalu.

Beliau berkata, dadah syabu seberat 3 kg bernilai RM240,000 itu ditemui disorokkan dalam beg plastik dan diletakkan dalam kereta dinaiki suspek.

“Pemeriksaan lanjut menemui dadah syabu dibungkus dalam tiga bungkusan berasingan dan risikan mendapati suspek berada di lokasi berkenaan untuk menyerahkan dadah itu kepada pelanggan.

“Polis juga turut menyita tiga kenderaan dianggarkan bernilai RM55,000 milik suspek untuk siasatan lanjut,” katanya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini, semalam.

Amran berkata, dalam serbuan kedua, dadah seberat 2.5kg bernilai RM210,000 dirampas polis dalam serbuan di Mutiara Damansara, jam 1.50 pagi kelmarin.

Katanya, tiga lelaki berusia 20 hingga 30 tahun ditahan ketika sedang menunggu pelanggan di kawasan berkenaan.

“Dadah itu juga dibungkus dalam tiga bungkusan berasingan dan ditemui disorokkan di dalam kereta suspek.

“Sebuah kereta bernilai RM35,000 yang digunakan sindiket dirampas polis untuk siasatan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Februari 2016 @ 6:59 AM