SKUAD utama (jersi hitam) beraksi pada perlawanan persahabatan menentang skuad pembangunan.
SKUAD utama (jersi hitam) beraksi pada perlawanan persahabatan menentang skuad pembangunan.

Kuala Lumpur: Selepas melakukan pelbagai penilaian, ketua jurulatih skuad hoki negara Stephen Van Huizen mendedahkan sudah mempunyai bayangan senarai 18 pemain terbaik untuk dibawa ke London bagi menghadapi Separuh Akhir Liga Hoki Dunia dari 15 hingga 25 Jun ini.

Perkara itu dimaklumkannya selepas menyaksikan barisan pemainnya menewaskan skuad pembangunan 6-1 pada perlawanan persahabatan di Stadium Tun Razak malam kelmarin.

“Setiap sesi latihan atau perlawanan persahabatan adalah sebahagian daripada program persiapan ke London.

“Sejak dari awal lagi saya tegaskan setiap sesi latihan fasa pemilihan pemain.

“Setiap kali apa yang pemain lakukan, kami menilai anda dan akhirnya cuba mengenal pasti siapa yang layak untuk berada dalam pasukan.

“Secara peribadi, saya sudah mempunyai bayangan pemain itu,” katanya.

Esok segala jawapan akan terlerai apabila Stephen bakal mengumumkan senarai 18 pemain terbaik pilihannya untuk dibawa ke London yang juga kempen kelayakan ke Piala Dunia 2018.

Mengulas lanjut mengenai perlawanan persahabatan dengan skuad pembangunan kelmarin, Stephen mengakui masih ada beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki.

“Saya fikir pemain perlu mengawal tempo permainan lebih baik. Mereka juga perlu menggunakan corak taktikal berbeza.

“Kami sedar tidak boleh bermain secara terbuka apabila bertemu pasukan tertentu,” katanya.

Pada saingan di London nanti, skuad negara diletakkan dalam Kumpulan A bersama-sama pasukan ranking pertama dunia Argentina serta England, Korea Selatan dan China.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Jun 2017 @ 8:48 AM