RUHAINIES dan Mimi Lana berkongsi pengalaman sepanjang menjadi artis.
RUHAINIES dan Mimi Lana berkongsi pengalaman sepanjang menjadi artis.
Sudirman Mohd Tahir


Bengkel Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL 2017) yang berlangsung pada 1 dan 2 April lalu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) mencatat sejarah tersendiri apabila menerima penyertaan paling banyak sepanjang empat tahun penganjurannya.

Menurut Pengurus Besar Kumpulan Pengurusan Jenama Dan Rancangan TV3 & TV9, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad Siti Nurlisia Mohd Nadzri, peserta bengkel tahun ini mencecah 750 daripada kebiasaan iaitu 500 penyertaan.

“Pada awalnya penyertaan dibuka kepada 500 peserta sahaja. Namun sejak siri jelajah DFKL 2017 berlangsung di Kuala Lumpur, baru-baru ini, ramai teruja untuk hadir ke sesi bengkel sehingga kami terpaksa menambah 200 lagi penyertaan pada saat akhir.

“Malah kami juga menerima 50 lagi peserta ‘walk-in’. Disebabkan tak nak mengecewakan mereka yang datang dari luar Lembah Klang, kami menerima penyertaan mereka.

“Ia menjadikan jumlah keseluruhan 750 penyertaan sekali gus mencatat sejarah penyertaan paling banyak bengkel DFKL setakat ini,” katanya.

Nurlisia berkata, Bengkel DFKL 2017 menawarkan 16 sesi yang merangkumi lakonan, pengarahan, imej dan penampilan diri, solekan kesan khas serta media sosial yang dikendalikan 16 nama besar dalam industri seni.

Antaranya Fauziah Ahmad Daud, Sheila Rusly, Azman Yahya, Khir Rahman, Ellie Suriati, Sabri Yunus, Datin Sharifah Shahwati, Mat Lutfi dan Michael Ang.

Pengarah ternama Azman Yahya atau Jinggo berkata, usaha TV3 wajar diberi pujian kerana menerusi bengkel ini ramai pelapis dicungkil terutama bidang lakonan.

“Idea dan usaha ini patut diteruskan. Saya percaya sepanjang empat tahun penganjuran bengkel ini, setiap jabatan yang terbabit sudah melakukan penambahbaikan agar memberikan lebih banyak impak.

“Jadi saya menyeru semua pihak dalam industri agar menghargai perkara ini. Pihak TV3 perlu menyuarakan perkara ini kepada semua syarikat produksi yang masing-masing perlu bertanggungjawab. Tidak boleh mengharapkan syarikat tertentu saja terbabit dalam bengkel ini.

“Bagi saya bukan sesuatu yang mudah untuk melaksanakan program sebegini. TV3 sudah menyediakan laluan, tinggal lagi syarikat produksi perlu memanfaatkan peluang diberikan,” katanya.

Jinggo yang juga speaker bagi bengkel pengarahan menyifatkan DFKL memberikan banyak peluang kepada bakat baru untuk lebih menonjol.

“Saya melihat banyak perubahan dalam diri setiap peserta yang terpilih. Walaupun ia berlaku secara berperingkat, ia membuahkan hasil. Ini yang kita mahu apatah lagi jika terbabit dalam bengkel itu.

“Peluang bagi bakat baru sekarang terbuka luas terutama di TV3 dan TV9. Namun pada masa sama mereka juga perlu berusaha dan tak terlalu mengharap,” katanya.

Sependapat dengan Jinggo, duta DFKL 2017 iaitu pelakon Raja Afiq menganggap program ini mampu mendekatkan lagi orang luar dengan industri.

“Ini tahun ketiga saya bersama DFKL. Program ini sangat bagus dan wajar diteruskan. Bagi mereka yang tidak berpeluang menyambung pengajian tapi minat untuk menyertai industri hiburan, DFKL adalah tempat yang sesuai.

“Bengkel ini bukan hanya fokus kepada satu bidang sahaja tetapi lebih luas. Peserta boleh pilih mana satu bengkel yang mahu disertai dan ia terbuka kepada semua peringkat umur,” katanya.

Selain Raja Afiq, acara turut dimeriahkan dengan kehadiran Ruhainies, Mimi Lana, Hafreez Adam dan Sasqia Dahuri.

Sepanjang dua hari itu, orang ramai berpeluang menyertai sesi Pencarian Bakat Baru yang dikendalikan Fadzil Teh daripada Zeel Production Sdn. Bhd dan Jalena Rejab daripada Country & Universal Sdn Bhd.

Sementara itu, bagi Pertandingan Sesi Kongsi pula peserta disaring Datuk A Aida daripada A Aida Production Sdn Bhd serta wakil radio.

Kemuncak bengkel adalah Anugerah DFKL 2017 yang bakal berlangsung pada Ahad ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) dan disiarkan secara langsung di TV3, jam 9 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 April 2017 @ 4:58 AM