PELAKON Fasha Sandha (kanan) pada Bengkel Drama Festival Kuala Lumpur 2018 di PWTC.
PELAKON Fasha Sandha (kanan) pada Bengkel Drama Festival Kuala Lumpur 2018 di PWTC.
Najiy Jefri


Memasuki tahun kelima penganjuran, bengkel Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) 2018 yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), baru-baru ini berjaya menarik hampir 1,000 peserta menyertai bengkel lakonan dan pengarahan.

Setiap peserta yang mengambil bahagian diberikan pendedahan mengenai teknik lakonan, asas dalam pengarahan dan penulisan kreatif daripada penggiat seni tersohor seperti Fauziah Ahmad Daud, Erma Fatima, Sheila Rusly, Jason Chong, Fasha Sandha, Datin Diana Danielle, Jason Kok dan Shahrulezad Mohamedin.

Ia turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti antaranya sesi uji bakat bagi bagi pelakon lelaki, wanita dan kanak-kanak.

Pada masa sama, pengunjung turut dihiburkan dengan persembahan istimewa oleh Ippo Hafiz, Shah Rezza, Sissy Iman, Syada Amzah dan Gerhana Ska Cinta.

Pengurus Besar Kumpulan Pengurusan Jenama dan Rancangan TV3 dan TV9 Siti Nurlisia Mohd Nadzri berkata, penganjuran yang memasuki tahun kelima ini mendapat sambutan memberangsangkan daripada orang ramai yang teruja mengetahui perjalanan serta merasai pengalaman dalam bidang lakonan.

“Pelbagai pengalaman dan tip berguna dikongsi penggiat seni popular kepada setiap peserta yang mengambil bahagian. Kami percaya, setiap ilmu yang dicurahkan mampu membantu mereka untuk bersinar dalam dunia seni pada masa hadapan.

“Jika tahun lalu peserta mempunyai masa terhad untuk bersama dengan speaker (penceramah) mereka, tapi tahun ini hampir tiga jam diperuntukkan. Jadi banyak aktiviti dapat dilakukan di samping berpeluang beramah mesra dengan panel yang dipilih,” katanya.

Siti Nurlisia berkata, bengkel DFKL juga mencatatkan peningkatan peserta yang mengambil bahagian sehingga ada yang tidak berkesempatan menyertai bengkel kerana setiap bengkel hanya diperuntukkan 150 orang peserta sahaja.

“Kami amat berbesar hati apabila ramai yang berminat menyertai perkongsian ilmu daripada selebriti tanah air. Jika sebelum ini, kami perlu mengundang institut pengajian tinggi untuk menyertai bengkel ini, namun tahun ini sudah ramai yang menyedari kebaikannya,” katanya.

Ditanya adakah pihak DFKL mempunyai perancangan untuk membawa bengkel ini ke luar Kuala Lumpur, Siti Nurlisia berkata, pihaknya akan mengambil kira setiap pandangan bagi penambahbaikan program ini.

“Alhamdulillah setiap kali ke luar Kuala Lumpur bagi mengadakan uji bakat lakonan, kami mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada orang ramai. Jadi kami akan mengambil kira setiap pandangan itu dan akan diusulkan kelak,” katanya.

Pada sesi kali ini turut dimeriahkan dengan kehadiran duta DFKL 2018 iaitu pelakon Syazuwan Hassan dan Pauline Tan serta barisan artis jemputan seperti Raja Hakim DFKL, Riena Diana DFKL, Aidil Aziz, Syazwan Zulkifly, Elisya Sandha dan Erwin Dawson.

Syazuwan berkata, walaupun masih ‘hijau’ dalam bidang lakonan, dia sentiasa terbuka untuk berkongsi pandangan dengan peserta.

Antara perkara penting yang dikongsi bersama mereka ialah disiplin. Perkara itu akan menjadi fokus utamanya pada bengkel yang menjadi antara komponen kempen berkenaan.

“Sepanjang dua tahun dalam bidang ini, saya juga belajar daripada pelakon lain dan pengarah. Dapat juga ilmu serba sedikit. Bagi mereka yang berminat hendak jadi pelakon, ingin saya tekankan, disiplin perkara perlu diutamakan.

“Sekarang, kita ada ramai pelakon hebat. Jadi, untuk meneruskan kelangsungan hayat seni, kena jaga disiplin diri,” katanya.

DFKL yang dimulakan sejak lima tahun lalu berjaya melahirkan ramai bakat baru seperti Raja Afiq, Syazuwan, Indah, Emeerlda, Nafiz Muaz, Jaja Illiyes dan Riena Diana yang kini rancak mengatur kerjaya masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 April 2018 @ 12:56 PM