Laporan Harian Metro semalam.
Laporan Harian Metro semalam.
Hayati Ibrahim


Putrajaya: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan memantau sindiket yang mencari mangsa melalui aplikasi WhatsApp dengan menyebarkan mesej palsu kononnya pelajar ditawarkan tempat di institusi pengajian tinggi.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh berkata, tindakan itu diambil bagi mengelakkan kegiatan itu terus berleluasa memandangkan ia dikesan sudah berlaku sejak beberapa tahun sebelum ini.

"Kita akan tengok siapa mereka (di sebalik sindiket) dan apakah tindakan yang boleh diambil (terhadap mereka) untuk memastikan kegiatan ini tidak terus berleluasa.

"Pada masa sama, kita menasihatkan pelajar supaya tidak terlalu ghairah dan berhati-hati (ketika menerima sebarang tawaran), sekiranya was-was tanya kepada KPT, Insya Allah kita akan bantu,"katanya ketika ditemui media selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Jabatan Pendidikan Politeknik (JPP) KPT dan Petroliam Nasianal Berhad (PETRONAS) di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan muka depan Harian Metro semalam mengenai tindakan sindiket yang menyebarkan mesej palsu kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) untuk mengaut keuntungan cara mudah.

Taktik penipuan sindiket itu yang dikesan aktif mencari mangsa melalui aplikasi WhatsApp dengan penyebaran mesej mengandungi tawaran palsu melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi (IPT).

Malah, mangsa juga diminta segera membayar RM300 sebagai pengesahan menerima tawaran kerana tarikh akhir penerimaan tawaran kononnya hampir tiba.

Idris turut meminta supaya pelajar berhati-hati apabila mendapat tawaran seumpama ini, terutama yang membabitkan pembayaran dalam jumlah tertentu.

Sementara itu, melalui MoU yang ditandatangani Ketua Setiausaha KPT Tan Sri Dr Noorul Ainur Mohd Nur dan Naib Presiden Kanan Kumpulan PETRONAS Datuk Raiha Azni Abdul Rahman itu, penuntut dua politeknik di Terengganu dan Sarawak akan diberi latihan secara intensif dalam program Penajaan Institut Vokasional dan Bantuan Latihan (VISTA).

Mereka yang terpilih adalah penuntut diploma Kejuruteraan Mekanikal (Automotif) Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu dan penuntut diploma Kejuruteraan Petrokimia dari Politeknik Kuching, Sarawak.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 April 2017 @ 2:35 PM